MUHAMMAD Adib menyiram pusara ibu bapanya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu. FOTO Rosli Ilham


JENAZAH suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu, dekat Pakoh Jaya, Kuala Nerus pagi hari ini, selamat dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah, Dungun, malam ini.

Jenazah Anuar Said, 57 dan [email protected] Kasliza Che Husin, 53, yang berasal dari Jalan Bunga Raya, Dungun, dikebumikan dalam satu liang lahad, kira-kira 9 malam tadi.

Jenazah pasangan itu yang siap dimandi dan dikafankan di Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terenggannu, tiba di Surau Jalan Bunga Raya, kira-kira 7 petang sebelum disembahyangkan di situ.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Muhammad Adib Anuar, 19, berkata, arwah ibunya itu memaklumkan kepada dia dan dua adiknya mengenai berita kematian sepupunya di Jerteh Besut, kira-kira 12 tengah malam semalam.

Menurutnya, ibunya sempat menyediakan juadah sahur nasi putih dan paprik ayam dan mereka berlima sempat makan bersama-sama.

Katanya, sebaik selesai solat subuh, ibu bersama ayah serta adik bongsu, Nurul Nadirah Anuar, 14, bertolak ke Besut.

“Kira-kira 11 pagi, saya buka Facebook dan terbaca berita kemalangan. Luluh hati apabila melihat kereta ayah terbabit dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di majlis pengebumian kedua ibu bapanya itu, malam ini.


JENAZAH Anuar dan Che Kasliza selamat da;lam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah. FOTO Rosli Ilham

Katanya, beberapa minit selepas itu dia menerima panggilan daripada bapa saudaranya yang memaklumkan kedua-dua insan yang disayanginya itu maut dalam kemalangan berkenaan.

“Ibu dan ayah tidak menunjukkan perbuatan pelik dan saya sangat sedih kehilangan mereka. Kini kami tiga beradik menjadi yatim piatu.

“Tambah sedih bila mengingatkan mereka sempat beli baju raya untuk kami tiga beradik beberapa hari lalu.

“Saya kini hanya berdoa agar adik, Nurul Nadirah yang patah kedua-dua belah kaki segera sembuh,” katanya.

Bapa saudara Anuar, Awang Seman Ismail, 59, berkata, dia bersama tiga adik-beradik termasuk ahli keluarga di Dungun akan berbincang untuk menjaga dan memberi pendidikan kepada tiga anak pasangan itu memandangkan dua daripada mereka masih belajar.

Katanya, Nurul Nadirah masih belajar di Sekolah Menengah Sura manakala Nurul Amirah Anuar, 19, belajar di Politeknik Kota Bharu.

Berita berkaitan

4 maut, 1 cedera

[UPDATE] Wanita hamil 5 bulan antara yang maut

Beli baju raya untuk keluarga sebelum ajal

'Maafkan saya pak cik'

Disemadi bersama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 11:01 PM