SYAFIE Naswip. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Ardini Sophia Sina


SUDAH bersedia menjadi imam buah hatinya, pelakon yang popular dengan filem Mukhsin percaya kejujuran adalah aspek penting yang menjadi pengikat hubungannya dengan Aishah Azman.

Bertunang dengan Aishah pada April lalu, Syafie Naswip mengakui fasa itu lebih mencabar. Malahan, dugaan dan ujian yang datang membuatkan mereka harus bijak mengawal keadaan dan emosi.

Sama seperti pasangan lain, ada kalanya timbul salah faham namun sebagai individu yang sepakat untuk hidup bersama, mereka cuba menyelesaikan setiap masalah dengan matang.

Syafie percaya, niat baiknya menyunting Aishah sebagai suri hidupnya akan dipermudahkan. Dia turut memohon agar majlis yang dirancang pada hujung tahun ini berjalan lancar.

“Seperti yang selalu saya dengar orang cakap bertunang adalah fasa yang sangat mencabar, begitu juga antara saya dengan Aishah. Namun, apa yang kami boleh lakukan kuatkan hati untuk berdepan segala ujian.

“Kalau timbul salah faham, lebih baik luahkan dan jangan pendam. Bagi saya, kejujuran sangat penting untuk mengekalkan perhubungan,” katanya.

Melalui peralihan status bujang kepada tunangan orang, Syafie tidak berasa sebarang perubahan besar. Dia masih dalam proses mengenali dan mendalami hati Aishah.


SYAFIE bersama Aishah pada majlis pertunangan mereka.

Syafie bersyukur semakin hari dia kenal sikap sebenar kekasihnya itu. Perselisihan yang berlaku mengajar mereka lebih saling memahami.

Sebagai tunang kepada Aishah, kata Syafie, dia bersyukur setakat ini semuanya baik dan tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.

“Sebelum bertunang, saya dan Aishah sedia maklum apabila sudah bertunang, ada batas-batas pergaulan harus kami jaga kerana selepas ini kami akan bergelar suami isteri. Insya-Allah.

“Sebenarnya, saya beruntung kerana dia juga bekerja dalam industri sama. Kami sudah saling faham jadual dan cara kerja serta kehidupan pelakon,” katanya.

Walaupun belum menetapkan tarikh pernikahan, Syafie dan Aishah sepakat melangsungkan majlis mereka pada tahun ini. Keluarga masing-masing merestui dan berharap mereka mendirikan rumah tangga secepat mungkin.

Bermula dengan persahabatan pada 2015, pasangan itu mula serius menjalinkan hubungan sejak tahun lalu. Malahan, tidak menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan peminat dan ada kalanya berkongsi gambar berdua di Instagram.

“Tidak seperti bertunang, untuk mendirikan rumah tanggga lebih banyak urusan membabitkan dokumen yang perlu diserahkan sebelum majlis nikah. Dalam pada sibuk dengan kerja, saya dan Aishah curi-curi masa untuk selesaikan perkara penting terlebih dulu.

“Syukur, kerana kedua-dua belah keluarga banyak membantu. Bagaimanapun, masih belum ada tarikh nikah yang ditetapkan. Insya-Allah, saya akan kongsikan apabila ada tarikh yang dipersetujui,” katanya.

Sedikit perkongsian mengenai persiapan raya kata Syafie, sama seperti tahun-tahun sebelum ini, dia memilih untuk bersederhana. Malahan, dia sama sekali tidak kisah untuk memakai apa yang ada dalam simpanannya.

“Kalau cerita raya, saya paling teruja dengan juadah yang bakal dihidangkan. Setiap tahun, saya pasti akan sajikan lontong goreng tomyam dan rendang ayam minang. Manakala ibu saya pula akan masak rendang tok dan asam pedas minang,” kata Syafie.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 5:00 AM