SARAH Hildebrand. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


WATAK Nadine dalam drama bersiri popular Pujaan Hati Kanda di Slot Akasia TV3 masih diingati peminat hingga hari ini.

Malah, watak antagonis itu berjaya menyerlahkan bakat pelakon dan pengacara berdarah kacukan Melayu-Amerika Syarikat, Sarah Hildebrand selepas enam tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Pemilik nama sebenar Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 29, me­ngakui watak Nadine berjaya memberi impak besar kepada karier lakonannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana banyak pihak mula buka mata terhadap bakat saya.

“Saya juga mula tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon dan me­ngacara ketika ini,” katanya.

Jika pelakon lain berehat, Sarah terbabit dengan penggambaran drama bersiri Hero musim kedua selama dua minggu sepanjang Ramadan ini.

Sarah bergandingan dengan pelakon Redza Rosli selaku teraju utama dalam drama bersiri yang bakal bersiaran pada Disember nanti.

“Saya terima tawaran ini kerana watak Arissa menampilkan sisi berbeza dalam lakonan. Sebelum ini saya sering ditawarkan watak sedih, orang kampung dan anak orang kaya tetapi kali ini bawa watak pegawai bomba wanita bernama Arissa,” katanya.

Sarah mengakui watak Arissa mencabar kemampuannya sebagai pelakon. “Watak ini lasak hingga berat badan turun beberapa kilogram.

“Selain penggambaran dalam cuaca terik pada Ramadan, saya juga menjayakan babak memadamkan kebakaran dan mengenakan pakaian seragam bomba yang panas dan tebal,” katanya.

Sarah mengakui bukan mudah bawa imej anggota bomba wanita dalam lakonan.

“Arissa wanita yang lemah lembut dan ayu. Namun, dia akan berubah menjadi tegas dan lasak sebaik berpakaian seragam bomba ketika bertugas.

“Saya sangat berharap watak Arissa akan tampilkan sisi berbeza saya selepas drama Pujaan Hati Kanda,” katanya.

Selain drama Hero musim kedua, Sarah juga terbabit dengan drama bersiri Pujaan Hati Kanda Raya yang bakal bersiaran pada malam raya nanti jam 10 malam di TV3.

Drama bersiri Pujaan Hati Kanda Raya menampilkan barisan pelakon seperti Remy Ishak, Mira Filzah dan Syazwan Zulkifli.

“Watak Nadine bukan lagi jahat seperti dulu. Nadine berubah menjadi baik dan dia juga sudah berkahwin dalam cerita ini,” katanya.


SARAH sambut raya di rumah nenek.

SAMBUT RAYA DI RUMAH NENEK

Sesibuk manapun dengan penggambaran drama, Sarah tetap mencari peluang untuk berbuka puasa dengan ibunya di rumah.

“Setiap kali penggambaran habis awal, saya akan pulang ke rumah untuk berbuka dan menunaikan solat Tarawih bersama ibu.

“Maklumlah, saya selalu sibuk dengan jadual penggambaran yang padat dan jarang dapat bersama ibu di rumah.

“Saya juga suka makanan Melayu dan lauk kampung seperti ikan bakar serta kuih tepung pelita ketika berbuka,” katanya.

Beralih sambutan Aidilfitri, Sarah akan berkumpul dengan keluarga di rumah neneknya di Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

“Sudah tahun keenam saya meraikan Aidilfitri sebagai selebriti. Setiap kali tibanya raya, pasti saya mahu meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dengan berkumpul di rumah nenek,” katanya.

Mengenai persiapan raya kata Sarah, dia akan membantu ahli keluarga yang lain menyediakan juadah sehari sebelum raya.

“Saya membantu emak masak lontong dan nasi impit. Juadah raya kegemaran lain seperti rendang daging dan ayam masak merah,” katanya.

Ditanya rumah terbuka pula, kata Sarah yang ber­naung di bawah pengurusan Kolme Management, dia tiada perancangan ke arah itu.

“Saya tidak buat rumah terbuka tetapi pintu rumah sentiasa terbuka jika ada tetamu atau peminat mahu berkunjung,” katanya.

Selain berlakon, hos program HyppTV Studio itu juga diberi kepercayaan mengendalikan program bual bicara Dari Meja Peguam sebanyak 13 episod untuk saluran RTM.

Terdahulu, Sarah juga baru melancarkan kelab peminat rasminya, #Hildefriends.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 5:30 AM