Kapten Ram Singh Virik (kanan) bersama rakan setugas.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


TAHUN ini genap 30 tahun Kapten Ram Singh Virik berkhidmat sebagai juruterbang bersama syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).

Dalam tempoh itu, beliau sudah melakukan 13,000 jam penerbangan dan menerbangkan pesawat ke lebih 25 negara.

Tugas dipikul sebagai juruterbang juga amat berat kerana dia mesti memastikan pesawat yang bakal diterbangkan dalam keadaan selamat demi keselamatan penumpang.

Pada masa sama, beliau membantu menguruskan penumpang seandainya berlaku kelewatan penerbangan yang disebabkan oleh masalah teknikal pesawat.

Bagi Kapten Ram Singh, situasi begitu bukan sesuatu yang sukar untuk beliau hadapi dan kejadian terbaharu ialah pada 29 Disember tahun lalu, di Lapangan Terbang Heathrow, London, United Kingdom.

“Saya bersama kru kabin membantu mengagihkan makanan kepada 250 penumpang selepas penerbangan ditangguhkan selama tiga jam. Kami melakukannya kerana bimbang penumpang kelaparan.

“Lazimnya, selepas insiden seperti ini (masalah teknikal pesawat), juruterbang dan kru kabin diberikan waktu rehat minimum 12 jam.

“Tetapi kami sanggup mengurangkan waktu rehat ini (seperti yang dibenarkan mengikut peraturan penerbangan awam) untuk meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas masalah teknikal pesawat berjaya diatasi,” katanya.

Katanya, sudah tentu beliau gembira kerana hasil kerjasama sepasukan, beliau dapat menjalankan tugas dengan baik iaitu menyelesaikan masalah teknikal pesawat dan meminimumkan tempoh masa penangguhan penerbangan.

Beliau yang berasal dari Taiping, Perak berkata, pendedahan menaiki banyak kapal terbang ketika kecil mencetuskan minatnya menjadi juruterbang.

“Dahulu ayah bertugas sebagai pegawai tentera darat dan kami sekeluarga kerap berpindah mengikuti ayah bertugas termasuk di Sabah serta Sarawak.

“Malah, keluarga terutamanya ibu dan ayah memberi galakan kepada saya untuk menjadi juruterbang,” katanya.

Mengakui tugas itu amat membataskannya peluangnya bersama keluarga, namun Kapten Ram Singh tidak pernah menjadikannya halangan untuk membahagiakan isteri dan dua anak perempuan mereka yang berusia 17 tahun serta 19 tahun.

“Biasanya dalam sebulan, saya berada di Malaysia selama lapan hingga 10 hari sahaja. Selebihnya berada dalam pesawat.

“Saya juga tidak pernah bosan dengan cara kehidupan sebegini kerana minat yang mendalam terhadap kerjaya ini.

“Saya gembira menjadi Juruterbang MAS dan berterima kasih dengan syarikat penerbangan ini kerana menghargai saya menerusi pemberian beberapa anugerah. Anugerah ini menyemarakkan semangat saya untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang,” katanya.

PROFIL

Nama : Kapten Ram Singh Virik

Jawatan : Juruterbang pesawat Airbus A350-900 Malaysia Airlines

Asal : Taiping, Perak

Pengalaman : 30 tahun

Anugerah :

* Anugerah ‘Way of Working’ (Kategori Pasukan), 2018

* Anugerah ‘MH Star Award’ (Operasi Penerbangan), 2010

* Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (Operasi Penerbangan), 2009

* Anugerah ‘MH Star Award’ (Pengawasan Keselamatan Korporat), 2009

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:10 AM