GEORGE bersama pegawai polis melakukan pemeriksaan ke atas ketiga-tiga mangsa yang maut dalam kejadian itu.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


“KETIKA berbuka puasa (sebelum kejadian) bersama-sama, kami sempat berbincang tema warna baju raya tahun ini dan dia kelihatan begitu gembira. Saya terkejut kerana tidak menyangka kehilangannya begitu cepat.

“Amat menyedihkan apabila saya menemui mayatnya di dasar laut berdasarkan baju yang dipakainya ketika kami berbuka puasa bersama-sama,” kata Rauf Hassan, 22, sepupu kepada mangsa yang maut dalam kemalangan dua bot di Kampung Pondo, Pulau Gaya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam, tiga mangsa iaitu Beloi Andoni, 15, David Waling, 19, dan Betiran Lajabiti, 20, dari Kampung Pondo, disahkan maut.

Manakala bapa Beloi antara tujuh mangsa lain yang cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini.

Menurut Rauf, ketika kejadian dia berehat di rumah sebelum dikejutkan sepupunya yang lain memaklumkan bot penumpang dinaiki Beloi dan bapanya dilanggar sebuah bot ketika dalam perjalanan ke Jeti Safma.

“Saya bersama ahli keluarga dan penduduk kampung bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki bot. Sebaik tiba beberapa mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital manakala tiga mangsa masih hilang.


Rauf Hassan

“Kami melakukan pencarian dan menemui mayat Beloi di dasar laut. Saya mengecam itu dia (Beloi) berdasarkan baju dipakainya ketika kami berbuka puasa bersama-sama,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, arwah Beloi dan bapanya menjual ikan di Pasar Ikan Kota Kinabalu dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke pasar berkenaan untuk berniaga.

“Saya tidak menyangka kehilangan Beloi begitu cepat. Pertemuan kami ketika waktu berbuka puasa menjadi detik terakhir kami,” katanya.

“Beloi begitu gembira ketika kami berbincang untuk beraya bersama sama dan dia sempat ketawa kerana bingung memilih tema warna baju raya tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:20 AM