Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“ALHAMDULILLAH Ainul (Mardhiah), (bapanya) Safi (Ahmad Safiuddin Ahmad Razak) dan (ibunya) Erwani (Nurul Erwani Zaidi) sudah tiba di London,” kata Dr Nur Amalina Che Bakri melalui Instagram (IG) beliau.

Pakar bedah warga Malaysia yang berkhidmat di di United Kingdom (UK) itu berkata, banyak pihak terbabit bersungguh-sungguh memastikan bayi perempuan berusia sembilan bulan yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ tiba dengan selamat ke negara itu.

Beliau berkata, ketibaan mereka turut ditemani dua pakar bius iaitu Kolonel (B) Datuk Dr Jaseemuddeen Abu Bakar dan Dr Gunalan.

Beliau yang memuat naik gambarnya bersama Nurul Erwani dan Ahmad Safiuddin turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang bersama-sama membantu memastikan Ainul Mardhiah selamat tiba seterusnya menerima rawatan di negara itu.

“Mari kita semua sama-sama doakan untuk adik Ainul.

“Terima kasih kepada pakar-pakar anestesia Malaysia yang menemani Ainul (Mardhiah) ketika penerbangan, kumpulan doktor Malaysia yang bermastautin di UK yang menguruskan logistik, Malaysia Airlines dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

“Tidak dilupakan penghargaan kepada rakyat Malaysia. Ramai pihak terbabit bagi memastikan Ainul (Mardhiah) selamat sampai di sini,” katanya.

Dr Nur Amalina juga meminta semua pihak menghormati privasi keluarga berkenaan yang ketika ini berdepan dengan saat-saat yang sukar.

Beliau turut memohon maaf tidak dapat berkongsi lebih terperinci berkaitan proses rawatan yang akan dijalankan ke atas Ainul Mardhiah bagi menjaga etika kerahsiaan pesakit.

Sementara itu Ahmad Safiuddin melalui status Facebooknya berkata, semua urusan bayinya di sana berjalan lancar.

Katanya, Ainul Mardhiah berada dalam keadaan baik dan pihak hospital sedang menstabilkan anaknya itu selepas mengharungi perjalanan yang jauh.

“Buat masa sekarang, terkini adalah Ainul (Mardhiah) dalam keadaan baik, cuma oksigennya sahaja sikit terganggu dan hospital sedang menstabilkannya semula.

“Mungkin sebab Ainul travel jauh, jadi dia perlu belajar sesuaikan diri di sini, tapi semuanya berjalan dengan lancar, alhamdulillah!

“Nanti bila saya dah ‘free’ sikit, saya akan menulis tentang perjalanan kami dari Malaysia sehingga Ainul (Mardhiah) dimasukkan ke hospital,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Dr Nur Amalina bersama sekumpulan pakar di UK bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

Berita berkaitan

'Terima kasih semua, doakan Ainul'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 1:45 PM
SAFI dan Nurul Erwani bersama anak mereka sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Arkib NTSP