Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


PERKHIDMATAN terbaik yang diberikan, namun penampar yang diterima. Itu nasib yang diterima seorang pembantu perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai ditampar lelaki tidak dikenali yang mendakwanya cuba melengah-lengahkan untuk menghantar seorang mangsa kemalangan menggunakan ambulans ke hospital,

Sedangkan, dia hanya mengikut prosedur operasi standard dalam membantu mangsa.

Dia yang mahu dikenali sebagai Umair berkata, terdahulu, dia dan pasukannya memberi respons kepada satu kes kemalangan jalan raya dekat Jalan Datuk Senu, Sentul, membabitkan seorang lelaki yang mengalami luka pada dahi dan kaki.

“Sebaik tiba di lokasi, saya memberikan rawatan ‘primer’ kepada lelaki berkenaan sebelum dibawa masuk ke dalam ambulans, namun tidak terus beredar kerana saya memberikan rawatan sekunder seperti memasukkan air ke badan mangsa kerana kehilangan banyak darah.

“Ketika memberikan rawatan sekunder seperti prosedur yang ditetapkan seorang lelaki yang tidak dikenali mengetuk pintu belakang ambulans secara agresif dan memarahi kami supaya segera ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Umair berkata, sebaik tiba di hospital, pesakit dibawa ke zon kuning bahagian kecemasan, namun tiba-tiba muncul seorang lelaki membuat bising di kaunter kecemasan yang cuba mempertikaikan tindakannya yang tidak segera beredar dari lokasi kejadian sebaik pesakit dibawa naik ke ambulans.

“Keadaan menjadi kecoh sebelum Polis Bantuan HKL tiba dan lelaki berkenaan beredar. Bagaimanapun, seorang lagi lelaki datang membuat kecoh di kawasan sama menyebabkan waris pesakit lain hilang sabar.

“Saya cuba mententeramkan lelaki itu dengan menariknya keluar, namun secara tiba-tiba satu penampar ‘hinggap’ di bahagian telinga kiri saya,” katanya yang kesal kerana diperlakukan sedemikian.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Pakar Perunding Perubatan Kecemasan HKL Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose yang memuat naik kejadian itu di laman Facebooknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 2:37 PM
RAKAMAN kejadian menunjukkan lelaki menaiki kereta mengekori ambulans sebelum bertindak agresif di HKL. FOTO Ihsan Pembaca