Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


“KAMI guna lilin supaya lebih mudah menghafal dan memberi tumpuan ketika baca al-Quran serta mengulangkaji kitab agama,” kata Mohd Zulharis Zaulkafli, 21, pelajar pondok Madrasah Addiniah Azzakiah di Kampung Lubuk Periuk, Kuala Berang.

Dia yang berasal dari Selama, Perak, berkata cara unik itu sememangnya berkesan dan digunakan gurunya yang juga pengasas madrasah itu, Zaki Mansur, 44.

“Bila guna cahaya lilin, mata kita hanya akan beri tumpuan di tempat cahaya dihalakan sahaja dan dengan demikian, otak lebih mudah menangkap apa yang dibaca.

“Berbeza dengan cahaya elektrik yang menerangi keseluruhan ruang bilik dan bila mata ternampak objek lain, ia mengganggu penumpuan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di madrasah berkenaan, semalam.


MOHD Zulharis (kanan) bersama rakan melakukan solat Tahajud dengan diterangi lilin di Madrasah Addiniah Azzakiah, Lubuk Periuk, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori

Tatkala segelintir anak rantau dan remaja seusianya bersenang-lenang dengan kehidupan penuh kebebasan, Mohd Zulharis memilih untuk mengenepikan semua itu untuk mendalami ilmu agama.

Malah, anak sulung daripada enam beradik itu sanggup berada di pondok berkenaan sepanjang Ramadan ini untuk fokus belajar dan bertadarus walaupun semua pelajar dibenarkan bercuti mulai 21 April sehingga 11 Jun (15 Syaaban hingga 7 Syawal).

“Saya tak mahu lepaskan ganjaran dijanjikan pada Ramadan, maklumlah hanya setahun sekali saja peluang itu datang. Saya dan beberapa pelajar lain tak balik ke rumah walaupun diberikan cuti, bimbang masa diisi dengan perkara lain jika berada di rumah.

“Mungkin saya pulang sekejap pada 1 Syawal nanti, tapi selepas itu kembali ke sini untuk meneruskan pengajian mendalami ilmu agama,” katanya.

Bercerita mengenai kisahnya menjadi pelajar pondok di situ, Mohd Zulharis berkata, dia datang selepas selesai mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016.

“Awalnya susah nak sesuaikan diri sebab kena berdikari dan elektrik pun tak ada di pondok ini, tapi sekarang sudah biasa.

“Jiwa kini rasa lebih tenang kerana boleh mendalami al-Quran dan dapat belajar bahasa Arab selain baca kitab agama lain,” katanya.

Sementara itu, Zaki atau lebih mesra disapa Ustaz Zaki berkata, semua pelajarnya dikehendaki membaca al-Quran dan mengulang kaji kitab menggunakan lilin atau pelita setiap malam.

“Cara ini saya gunakan sejak zaman saya mengaji pondok di Pengkalan Hulu (Perak), diajarkan arwah guru saya dan kini saya turunkan pula kepada pelajar pondok ini.

“Kalau ada elektrik, mata kita ‘liar’ lihat benda lain, contohnya kipas atau cicak dan sukar untuk fokus terhadap apa yang dibaca,” katanya.

Ustaz Zaki berkata, setakat ini terdapat 43 pelajar di madrasah itu dan setiap daripada mereka dikehendaki membaca 15 kitab setiap hari.

Beliau berkata, tiada had umur ditetapkan, tetapi majoriti pelajar adalah remaja.

“Usia bukan halangan menuntut ilmu dan sebab itu kami sentiasa membuka ruang dan peluang kepada sesiapa yang datang menuntut ilmu agama di sini asalkan ada keinginan dan yuran bulanan dikenakan hanya RM10 saja, tapi kalau tak mampu, boleh datang belajar percuma.

“Bagi menambah pendapatan untuk madrasah itu, kami kini mengusahakan tanaman cili kecil dan besar di atas tanah 0.4 hektar milik saya.

“Kami turut mengharapkan ihsan orang ramai. Jika ada yang ingin membuat sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Islamic 563037062057,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 6:22 PM
(DARI kiri) Mohd Zulharis, Mohd Fadli Ahmad, 16, Annuar Ahmad, 42, dan Ahmad Farhan Mohd, 16 membaca al-Quran dengan diterangi lilin di Madrasah Addiniah Azzakiah, Lubuk Periuk, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori