CEF Zairi kongsi pengalaman bidang kulinari di luar negara. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
CEF Zairi kongsi pengalaman bidang kulinari di luar negara. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Redzuan Muharam


“SAYA pernah berangan untuk menjadi cef dan bekerja di luar negara namun tidak sangka impian itu menjadi kenyataan,” kata Cef Zairi Zaidi yang baru kembali ke tanah air selepas merantau di tujuh negara demi menimba pengalaman sebagai cef.

Zairi berkata, bukan mudah untuknya sampai ke tahap sekarang dan beliau tidak malu mengakui latar belakangnya yang pernah bekerja sebagai pencuci pinggan sebelum bergelar cef.

Namun, anak kelahiran Pulau Pinang itu bersyukur kerana usaha dan pengorbanannya tinggal berjauhan dengan keluarga berbaloi apabila berjaya menerbitkan dua siri buku bertajuk My Cooking My Talent yang sudah dipasarkan di Amerika Syarikat (AS).

Menurut Zairi, buku itu diterbitkan berbekalkan pengalamannya selama 30 tahun dalam bidang kulinari dan selain menceritakan kisahnya, beliau turut berkongsi resipi dengan tujuan memperkenalkan masakan tempatan kepada masyarakat di sana.

“Saya bukan berasal daripada keluarga senang dan disebabkan masalah kewangan, saya terpaksa lupakan impian ke menara gading selepas tamat persekolahan.

CEF Zairi mahu kongsi ilmu dan pengalaman dengan anak tempatan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
CEF Zairi mahu kongsi ilmu dan pengalaman dengan anak tempatan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Demi meringankan beban keluarga, saya bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah hotel dan ketika itu, ada yang memandang hina malah hubungan saya dengan bekas teman wanita juga tidak mendapat restu keluarganya kerana faktor pekerjaan.

“Akan tetapi, saya jadikan apa yang berlaku sebagai pembakar semangat untuk bekerja lebih kuat hingga diberi kepercayaan menjadi pembantu dapur seterusnya cef di hotel lima bintang,” katanya.

Zairi yang juga bapa kepada tiga anak berkata, selepas 15 tahun menimba pengalaman dalam bidang kulinari, beliau nekad mengambil keputusan berhijrah ke luar negara.

Katanya, keputusan itu selepas menerima tawaran bekerja di kapal layar mewah di New Zealand selain keinginannya menimba pengalaman di luar negara.

“Keluarga tidak menghalang cuma isteri, Sapinah Yusoff, 48, pada mulanya sedih kerana terpaksa berpisah dengan saya.

“Perasaan saya pula bercampur baur ketika itu yakni sedih kerana berpisah dengan isteri dan anak serta pada masa sama gembira kerana menjejakkan kaki di negara orang.

“Selepas lebih setahun bekerja di New Zealand, saya berhijrah ke Australia pula selama lapan bulan dengan bekerja di sebuah restoran sebelum pulang ke Malaysia,” katanya.

PENGALAMAN 30 tahun dalam bidang kulinari mendorong Cef Zairi Zaidi menerbitkan buku bertajuk ‘My Cooking My Talent’. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PENGALAMAN 30 tahun dalam bidang kulinari mendorong Cef Zairi Zaidi menerbitkan buku bertajuk ‘My Cooking My Talent’. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Bagaimanapun, Zairi berkata, sekembalinya di tanah air, beliau cuba mencari pekerjaan di hotel, tetapi tidak diberikan gaji setimpal hanya kerana mempunyai rekod pengalaman kerja di restoran.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa bekerja di bahagian pemakanan sebuah pasar raya dan hospital untuk menyara keluarga.

Namun, kekecewaan dan desakan kewangan menyebabkan beliau nekad berhijrah semula ke luar negara untuk mencari peluang lebih baik.

“Ikutkan, beberapa kali juga saya pulang ke tanah air kerana menerima tawaran kerja di hotel cuma tidak berkhidmat dalam tempoh yang lama kerana kebanyakan masa di perantauan termasuk ketika Ramadan dan Aidilfitri.

“Soal pengalaman pula terlalu banyak untuk dikongsi, namun paling menyedihkan ketika menerima berita pemergian anak kedua, Muhammad Fazril dan tidak dapat melihat jenazahnya buat kali terakhir kerana urusan pengebumian sudah selesai sebaik tiba di tanah air.

Sedih memang sedih namun isteri dan anak yang masih ada banyak memberi semangat untuk saya terus tabah mencari rezeki di bumi asing,” katanya yang mengharapkan bantuan kerajaan untuknya mengadakan bengkel bersiri bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dengan anak muda tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 6:00 AM