GAMBAR kenangan Asnida bersama Mohd Hanafiee ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu. FOTO ihsan pembaca.
GAMBAR kenangan Asnida bersama Mohd Hanafiee ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu. FOTO ihsan pembaca.
Junaidi Ladjana


“KAMI rancang bertunang selepas hari raya ini dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada keluarga sebelah Hanafiee,” kata Asnida Saip, 22, bakal tunang kepada pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaafar, 27, yang maut dibunuh sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak dekat pantai Kampung Shahbandar, Tuaran, petang semalam.

Asnida berkata, Mohd Hanafiee ada menghubunginya pada 11 malam Khamis lalu untuk mengucapkan selamat malam, sebelum dia gagal dikesan keesokannya .

“Ketika itu, Hanafiee memberitahu baru selesai menghantar penumpang di Penampang dan hendak makan. Masa itu, saya mengucapkan selamat malam sebelum meminta supaya berhati-hati ketika kerja.

“Selepas itu, pada 2.30 petang, Sabtu lalu, saya menghubungi Hanafiee bangunkan dia untuk kerja tapi telefon bimbitnya gagal dihubungi dan saya mesej pada WhatsAppnya namun tiada sebarang respon.

“Saya masih positif bahawa Hanafiee tidur,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Asnida berkata, sehingga 4 petang, Hanafiee masih gagal dihubungi manakala mesej pada WhatsApp tiada tindak balas menyebabkan dia mula resah dan bimbang mengenai Hanafiee kerana keadaan sebegini tidak pernah berlaku.

“Sabtu malam selepas berbuka puasa, saya bergerak ke rumah Hanafiee di Kingfisher, namun dia tiada di rumah. Saya dan rakan Hanafiee meminta tolong melalui WhatsApp berkumpulan (Group) jika ada menemui atau terserempak Hanafiee.

“Sehingga 12 tengah malam, Ahad lalu, seorang daripada ahli kumpulan WhatsApp memberitahu melihat keretanya di parkir di kawasan bazar di Indah Permai.

“Saya bersama rakan Hanafiee bergegas ke lokasi yang dimaksudkan dan menemui kereta milik Hanafiee. Hasil pemeriksaan menemui beberapa kesan darah pada kereta itu sebelum menghubungi ahli keluarga Hanafiee dan polis.

“Masa itu, saya sentiasa berdoa agar Hanafiee dalam keadaan selamat dan masih positif bahawa dia selamat,” katanya.

Bagaimanapun Asnida berkata, pada petang semalam, dia dimaklumkan oleh polis mengenai penemuan mayat lelaki di kawasan semak di Kampung Shahbandar, Tuaran.

Katanya, bapa dan adik beradik Hanafiee bergegas ke lokasi dan melihat fizikal serta pakaian mayat itu adalah pakaian Hanafiee.

“Ketika itu saya di rumah bersama ibu Hanafiee dan berdoa agar mayat itu bukannya Hanafiee.

“Ketika di hospital hanya ibu bapa Hanafiee sahaja yang dibenarkan masuk dan mengesahkan mayat itu adalah Hanafiee.

“Saat ini saya merindui segalanya berkenaan Hanafiee kerana arwah bukan sahaja amat baik, tidak pernah bertindak kasar dan tidak sombong,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan hari raya yang bakal menjelang tiba, Asnida sebak namun terus meneruskan perbualan apabila mereka sudah menjahit baju untuk tema hari raya.

“Baju raya saya sudah siap dan kalau tidak silap saya, mungkin hari ini baju arwah Hanafiee siap.

“Arwah memberitahu akan membelikan baju dan kasut pada 30 Mei ini sempena perayaan Aidilfitri nanti,” katanya yang mengenali Hanafiee sejak enam tahun lalu.

Berita berkaitan

Sedekah terakhir pemandu Grab

Pemandu Grab disamun, dibunuh

[UPDATE] Belum sah mayat pemandu Grab

Misteri kehilangan pemandu Grab

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 5:57 PM