X
Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi


JENAZAH pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaffar yang maut disamun sebelum dibunuh, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Taun Gusi di Kota Belud, malam ini.

Jenazah Mohd Hanafiee, 27, dimandikan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu sebelum disembahyangkan di tanah perkuburan islam di kampung berkenaan.

Kira-kira 150 penduduk termasuk ahli keluarga dan saudara terdekat hadir memberikan penghormatan terakhir kira-kira 7.30 malam.

Suasana pilu mengiring pemergian Mohd Hanafiee sebaik selesai solat jenazah bagi membolehkan ahli keluarga menatap wajah arwah.

Sementara itu, adik arwah, Nur Ain Jaffar berkata, jenazah arwah dimandikan di HQE Kota Kinabalu dan disembahyangkan di tanah perkuburan itu.

“Pada awalnya, kami mahu menyembahyangkan arwah di Masjid Jamek Kampung Taun Gusi, namun dibatalkan atas sebab lewat dan jenazah terus dihantar ke tanah perkuburan,” katanya.

Dalam pada itu, Ain memohon agar orang ramai berhenti menyebarkan gambar mayat arwah yang ditemui di Kampung Shahbandar, Tuaran.

“Setakat ini, kami dimaklumkan dua suspek sudah dikenal pasti dan ditahan.

“Jadi, sebaiknya kes ini kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan tidak membuat spekulasi bukan-bukan,” katanya.

Beberapa kenalan Facebook mangsa turut melahirkan rasa sedih kerana arwah seorang yang sangat baik dan melahirkan ucapan takziah.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, arwah dilihat kali terakhir berada di bazar Ramadan di Indah Permai, Sepanggar sebelum dilaporkan hilang pada 24 Mei lalu.

Petang semalam, mayat arwah ditemui di celah bakau berhampiran tepi pantai Kampung Shahbandar, Tuaran sebelum keluarga arwah dihubungi untuk melakukan pengecaman.

Susulan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah dalam sidang medianya pagi hari memberitahu mangsa disamun dan dibunuh sebelum mayatnya dibuang di kawasan semak Kampung Shabandar, Tuaran.

Katanya, hasil siasatan dan kerjasama Grab, polis menahan dua lelaki di kawasan parkir One Borneo, Kota Kinabalu pada jam 9.50 semalam.

Berita berkaitan

'Kami rancang bertunang lepas raya'

Sedekah terakhir pemandu Grab

Pemandu Grab disamun, dibunuh

[UPDATE] Belum sah mayat pemandu Grab

Misteri kehilangan pemandu Grab

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 9:54 PM
JENAZAH Mohd Hanafiee selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Taun Gusi di Kota Belud. FOTO NSTP
JENAZAH Mohd Hanafiee selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Taun Gusi di Kota Belud. FOTO NSTP