TERTUDUH ketika dibawa ke mahkamah. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


PEMASANG PERMAIDANI berdepan hukuman penjara 30 tahun dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak kandungnya di sebuah rumah di Alor Setar, tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun bagaimanapun hanya mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun pada 13, 14 dan 15 April 2016 di sebuah rumah di Mergong, di sini di mana perhubungan itu adalah tidak dibenarkan mengikut undang-undang (atau hukum agama atau adat atau kebiasaan) yang terpakai pada tertuduh untuk berkahwin dengan kanak-kanak itu.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan di mana sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih daripada 30 tahun dan dikenakan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kedah, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Alif meminta mahkamah supaya tidak membenarkan sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan itu adalah serius yang membabitkan penjara serta sebatan.

Selain itu juga, hubungan antara tertuduh dan mangsa sebagai bapa dan anak boleh menyebabkan tertuduh akan cuba mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan lelaki itu akan ditahan di Penjara Alor Setar sementara menantikan tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memberi peluang kepada tertuduh untuk melantik peguam serta penyerahan dokumen berkaitan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 12:12 PM