Mohd Azam Shah Yaacob


BUKAN saja menghalang lalu lintas, seorang penunggang motosikal samseng bertindak menghentak cermin sebuah kereta sehingga retak kerana dikatakan tidak berpuas hati apabila pemandunya membunyikan hon.

Tindakan samseng penunggang motosikal itu dirakam pemandu kereta berkenaan menggunakan kamera ‘dashcam’ dan tular di Facebook sejak semalam.

Menerusi rakaman video berdurasi tiga minit itu, lelaki berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang menunggang dua motosikal berbeza sedang berbual sambil menunggang.

Tindakannya itu menghalang lalu-lintas dan dipercayai menyebabkan pemandu kereta terpaksa membunyikan hon.

Bagaimanapun, selepas berjaya memotong dua motosikal berkenaan, kereta dipandu mangsa dihalang oleh seorang penunggang motosikal sebelum berhenti mengejut di sebelah kanan.

Lelaki berkenaan kemudian menghentak cermin kereta mangsa sehingga retak dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan tindakan membunyikan hon.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian berlaku di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang jam 5.30 petang kelmarin.

Katanya, susulan kejadian itu pengadu membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan dan khianat sehingga menyebabkan kerosakan pada harta awam atau persendirian.

“Polis sudah mengenal pasti suspek dan usaha mengesannya sedang dilakukan.

“Susulan kejadian itu, polis ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan siasatan kepada polis jika mempunyai maklumat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 2:53 PM
RAKAMAN yang tular di FB. FOTO ihsan pembaca