RAZALI (kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar kereta dan nombor pendaftaran kenderaan palsu yang dirampas daripada suspek. FOTO Zain Ahmed
RAZALI (kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar kereta dan nombor pendaftaran kenderaan palsu yang dirampas daripada suspek. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani


PINDA, padam dan palsukan Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP). Itu antara modus operandi sindiket kereta klon yang dikesan membawa keluar kenderaan mewah terutama model BMW S29 dari Singapura sebelum dijual di Thailand.

Malah, sindiket dikesan menjadikan negeri ini sebagai transit sementara sebelum kenderaan itu dipindahkan ke negara Thailand selepas proses pemalsuan dokumen dilengkapkan di negeri ini sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.

Difahamkan sindiket menjual kereta klon biasanya menggunakan nombor pendaftaran sama dengan kenderaan model sama yang sah di negara ini.

Namun modus operandi sindiket kini berubah, apabila menggunakan dokumen kenderaan palsu dari negara Thailand selain mengekalkan nombor casis untuk mengelirukan penguatkuasa yang melaksanakan operasi.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Razali Wagiman berkata, taktik itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang memandu kenderaan klon dari Singapura.

“Ketika ditahan dalam operasi di Kebun Teh di sini, suspek menunjukkan dokumen perjalanan dan ICP palsu,” katanya.

Katanya, kenderaan model BMW S29 dipandu lelaki itu didapati memiliki kod pengeluar dari negara Singapura serta nombor casis sama, namun pendaftaran dan dokumennya dari Thailand.

“Jadi kami buat semakan lanjut melalui Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Polis Thailand, selain siasatan mendapati kenderaan ditahan itu kereta klon.

“Semakan kedua-dua pihak berkuasa mendapati, kenderaan itu didaftarkan di Singapura pada 2008, manakala nombor pendaftaran wujud di Bangkok Thailand dengan model kereta sama, namun berwarna putih,” katanya di pejabatnya di Taman Daya di sini, semalam.

Katanya, semakan mendapati kenderaan itu didaftarkan bernombor SJW 2438T namun diklonkan nombor kenderaan model sama di Bangkok bernombor 5AA 8095.

Katanya, kenderaan itu sepatutnya dilupuskan (scrap) pada tahun lalu namun diklonkan ke pasaran Thailand pada harga RM30,000.

Katanya, sindiket menjual kereta klon biasanya menggunakan nombor pendaftaran yang sama pada kenderaan jenis sama di negara ini.

“Jadi bila kita dapatkan nombor pendaftaran Malaysia, kita boleh mengetahui siapa pemilik kenderaan itu, siapa pemiliknya.

“Tapi bila dia (sindiket) menggunakan dokumen Thailand termasuk geran kenderaan serta nombor casis sama seperti dalam dokumen menyebabkan kita keliru,” katanya.

Katanya, proses pemalsuan dokumen kenderaan itu mengambil masa kira-kira seminggu sebelum ia ditransitkan ke Thailand menggunakan ICP dipinda, dipadam dan dipalsukan.

“Johor jadi lokasi transit untuk membuat dokumen dan transit sementara sebelum kenderaan yang berstatus untuk dilupuskan itu dibawa ke Thailand,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 6:30 AM