Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


TENAGA Nasional Berhad (TNB) mengakui berlaku gangguan dalam sistem pengebilan mereka pada 15 hingga 20 Mei lalu menyebabkan segelintir pengguna menerima bil yang tinggi.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya sedar isu teknikal berkenaan memberi kesan kepada sistem pengebilan mereka namun pelanggan sudah dimaklumkan menerusi pelbagai platform.

“Sistem berjaya dipulihkan sepenuhnya dan beroperasi dengan sempurna serta lancar, bagi sesetengah pelanggan tempoh pengebilan yang lebih panjang daripada biasa berlaku.

“Bagaimanapun, kami memenuhi janji untuk meneliti dan memperinci aduan atau laporan yang diterima. Jika terbukti ada lebihan caj kami akan kreditkan semula dalam bil pelanggan,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat TNB di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pada April lalu, pihaknya menerima 5,621 aduan manakala Mei meningkat kepada 9,028 aduan dengan keseluruhan aduan diterima setakat ini berjumlah 14,469.

“Daripada jumlah itu, 11,331 aduan berjaya diselesaikan manakala 3,318 masih dalam siasatan.

“Bagi menangani isu bil tinggi ini, kami menubuhkan Pasukan Khas Tangani Bil Tinggi diketuai Ketua Pegawai Runcit TNB Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan,” katanya.


AMIR Hamzah bersama Megat Jalaluddin (kanan) dan Ketua Pegawai Distribution Network, Datuk Baharin Din (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat TNB bangsar. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Amir Hamzah berkata, pasukan itu akan memantau dan menyemak semua laporan atau aduan yang diterima serta memerlukan sedikit masa untuk siasatan.

“Memandangkan isu ini timbul menjelang musim perayaan, sudah tentu mendatangkan kebimbangan kepada pelanggan, namun kami memberi jaminan akan berusaha memastikan bekalan elektrik tanpa gangguan.

“Bagi mereka yang membuat laporan dan siasatan masih dijalankan, pada musim perayaan ini notis pemotongan dan pemotongan bekalan elektrik akan ditangguh selama dua minggu,” katanya.

Katanya, selain itu, waktu operasi Kedai Tenaga dilanjutkan iaitu beroperasi pada 8 pagi hingga 6 petang setiap hari termasuk Sabtu kecuali cuti umum manakala talian TNB Careline bermula 7 pagi hingga 11 malam setiap hari termasuk Aidilfitri.

Ditanya berkemungkinan TNB akan dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Tenaga mengikut Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990, Amir Hamzah menegaskan keutamaan ketika ini mahu menyelesaikan aduan pelanggan.

“Fokus kami sekarang mahu menyelesaikan isu ini terlebih dulu dan perkara lain saya tak nak cakap,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Jalaluddin berkata, berdasarkan aduan yang diselesaikan pihaknya mendapati ada beberapa punca menyebabkan peningkatan bil elektrik.

“Ia adalah tempoh bacaan bil panjang berikutan gangguan sistem pengebilan, meter lama ditukar kepada baharu, gangguan pada meter dan penambahan peralatan elektrik di premis pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 5:03 PM