BOBINA bersama anaknya di Hospital Gleneagles semalam. FOTO Aswadi Alias
Iqhram Ahmad


JURUWANG, Bobina Surik, 23, memerlukan bantuan RM60,000 bagi menampung kos pembedahan jantung bayinya, Arnold Merikan Vikever yang berusia lapan hari.

Kata Bobina yang berasal dari Miri, Sarawak, suaminya yang bekerja sebagai perancah tidak mampu membiayai kos pembedahan anaknya itu.

“Arnold dikesan menghidap masalah injap jantung terbalik selepas beberapa hari dilahirkan. Pendapatan suami yang tidak seberapa menyebabkan kami memerlukan sumbangan orang ramai untuk selamatkan Arnold.

Selepas diperiksa di Hospital Miri, kami dimaklumkan dia menghadapi masalah jantung kritikal. Pihak hospital terus merujuk Arnold ke pusat perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Bobina, dia dan bayinya tiba di sini pada 30 Mei lalu dan Arnold memerlukan pembedahan segera.

“Hanya saya dan Arnold ke Kuala Lumpur kerana kami tidak mampu menyediakan tambang penerbangan untuk suami,” katanya di Hospital Gleneagles, semalam.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu. Saya dan suami tidak sanggup melihat anak kami sebegini,” katanya.

Sumbangan bagi kos pembedahan jantung Arnold boleh disalurkan kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund menerusi akaun Maybank 5141-0532-3170.

Sumbangan melalui cek juga boleh dilakukan dengan menulis nama pesakit di belakang cek berkenaan dan dihantar ke Media Prima Bhd, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 6:30 AM