SUMAREH harap dapat menikmati ikan patin masak tempoyak lebaran nanti.
Firdaus Hashim

Kebiasaannya, rendang ayam atau daging yang dimakan bersama lemang serta ketupat adalah hidangan wajib setiap kali Aidilfitri namun ia berbeza buat tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.

Sumareh yang mula menetap di Kuantan, Pahang sejak 2017, sudah tidak lagi mampu ‘berpisah’ dengan menu harian tradisi warga tempatan - ikan patin masak tempoyak - dan lauk itulah yang mahu dicarinya pada hari lebaran nanti.

Mungkin ia satu misi mustahil buat Sumareh kerana bukan mudah untuk menemukan rumah yang membuat menu berkenaan kerana semuanya lebih sibuk menghidangkan lauk raya yang hanya boleh didapati setahun sekali!

Jika teringin juga, patin masak tempoyak perlu ditempah khas dan ia juga mungkin hanya dilayan kenalan rapat.

Sumareh yang kini sibuk menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua aksi timbal balik Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun ini mengaku dia amat gilakan hidangan tradisi rakyat Pahang itu.

Katanya, kelazatan gulai itu yang dimasak bersama ikan patin segar dan tempoyak membuatkan ia antara hidangan wajib dinikmatinya bersama rendang ayam sejak mula menjejakkan kaki di negara ini pada 2013.

“Saya suka makan ikan patin tempoyak. Rasa ikannya amat segar apatah lagi dimasak sekali dengan tempoyak menerbitkan aroma yang sedap dan menyelerakan,” katanya yang akan beraya di Subang Jaya bersama keluarganya pada Aidilfitri pertama, Rabu ini.

Jelasnya, pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe akan memberi pelepasan sehari kepada barisan pemain bagi menyambut hari lebaran bersama keluarga.

“Jurulatih akan beri rehat sehari bagi kami menyambut Hari Raya bersama keluarga. Jadi saya akan gunakan sebaik-baiknya sebelum kembali menjalani latihan kerana perlawanan jatuh pada Hari Raya ketiga.

KEENAKAN rendang tak mampu tarik perhatian Sumareh pada Aidilfitri.

“Mungkin saya sedikit bertuah sebab perjalanan ke Subang Jaya dari lokasi penginapan pasukan di Serdang cuma ambil masa 20 minit. Tetapi kasihan kepada pemain yang kampungnya jauh.

“Apapun saya akan manfaatkan masa terluang dengan mengunjungi rumah kawan-kawan selain mencari makanan kegemaran iaitu ikan patin tempoyak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sumareh mengaku dia kini tidak boleh ‘berpeluk tubuh’ dan berasa selesa memandangkan persaingan merebut tempat di dalam skuad kebangsaan semakin sengit.

“Dalam pasukan kali ini ada gandingan pemain muda (dari skuad bawah 23 tahun negara) dan senior. Kehadiran pemain muda memantapkan lagi pasukan selain jurulatih kini mempunyai banyak pilihan.

“Ini suasana yang sihat dan saya perlu kekal fokus dan beri aksi terbaik supaya dapat diturunkan oleh jurulatih dalam perlawanan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 6:00 AM