Aizat Sharif


PENGANGGUR berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gurun, hari ini atas kesalahan membunuh kanak-kanak berusia dua tahun yang juga anak tirinya di Yan bulan lalu.

Tertuduh, Sofiyudin Abu Bakar, 28, bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurulrasyidah Mohd Akit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul berusia dua tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 19 3/4 Jalan Yan-Guar Chempedak, Yan sekitar jam 7.30 hingga 8 malam pada 25 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kedah, Nurul Waheda Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding yang sama juga, isteri tertuduh, Nurul Natasha Roslan,23 yang sebelum ini turut ditahan bersama tertuduh bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah berjumlah RM10,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh yang berbaju kemeja merah dan seluar jeans serta isterinya yang berbaju kurung biru tiba di perkarangan mahkamah jam 9 pagi diiringi anggota polis.

Malah, sebaik selesai prosiding tertuduh dilihat bersalaman serta mencium dahi dan pipi isterinya.

Pada 27 Mei lalu, polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang mati akibat didera dalam kejadian di Batu 19 3/4 Jalan Yan-Guar Chempedak, Yan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 11:42 AM
ANGGOTA polis mengiringi Mohammad Sofiyudin (tengah) yang dituduh di Mahkamah Majistret Gurun. FOTO Amran Hamid