GOSIP Remy, Mira bercinta belum reda: FOTO: Supian Ahmad
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


GANDINGAN dua nama ini benar-benar menjadi menerusi drama bersiri Pujaan Hati Kanda yang ditayangkan di TV3, Januari lalu.

Melihatkan populariti memuncak dengan ditambah permintaan peminat, Remy Ishak dan Mira Filzah sekali lagi digandingkan dalam episod istimewa Pujaan Hati Kanda Raya yang akan menemui penonton pada hari raya pertama di TV3 jam 10 malam.

Seperti kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, baik Remy mahupun Mira mengakui gembira apabila digandingkan semula dalam drama adaptasi novel judul sama terbitan Mache All Star United Sdn Bhd ini.

Mira, 26, yang melakonkan watak Tiara berkata, dia gembira TV3 memenuhi permintaan peminat yang mahu terus melihat gandingan mereka berdua.

“Semua tahu drama ini dapat rating dan respons yang bagus daripada peminat. Jadi, sukar TV3 menolak permintaan mereka untuk melihat edisi istimewa sempena Aidlfitri.

“Hanya ini drama lakonan saya yang ditayangkan pada musim raya dan peminat pasti akan tertunggu-tunggu nanti.

“Kerjasama saya dengan Remy tidaklah susah kerana kami sudah banyak kali bekerjasama. Oleh itu, penggambaran berjalan lancar tanpa masalah dan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.


REMY sifatkan Mira seorang yang semula jadi ketika berlakon, wujud keselesaan antara mereka.

Remy, 37, pula menyifatkan Mira seorang yang semula jadi ketika berlakon, sekali gus mewujudkan keselesaan dalam lakonan.

“Saya okey dan selesa dengan dia. Orang pula suka tengok kami berlakon berdua. Susah sebenarnya untuk saya jelaskan kerana apabila berlakon dengan pelakon lain, tiada pula keserasian begitu.

“Di lokasi Mira amat profesional. Dia pun baik dan tak dinafikan dia seorang yang lemah lembut dan baik. Dia betul-betul jaga keperibadian, masih muda dan seorang yang gagah.

“Nilai Mira sebagai selebriti amat bagus dan tak berlebihan dalam ‘attitude’ seorang pelakon. Mira menjaga keperibadian dan nilainya sebagai perempuan Melayu amat tinggi,” katanya.

Dek keserasian yang terjalin, timbul gosip mengatakan pasangan ini mula menjalinkan hubungan cinta.

Apatah lagi Remy pula tiba-tiba mengumumkan sudah putus tunang dengan wanita bernama Ezza Yusof pada Februari lalu sekali gus menimbulkan spekulasi liar pelbagai pihak terhadap Mira.

“Saya akui senang berlakon dengan Remy. Kami berhubung secara profesional di set dan bukan bercinta. Apabila ramai orang bercakap mengenai kami, bermakna gandingan kami menjadi dan memberi impak yang berkesan.

“Saya sentiasa meletakkan batas dalam bekerja dan profesional untuk mengelakkan cakap-cakap tidak elok ketika penggambaran,” kata Mira.

Remy pula menganggap apa yang berlaku hanya sekadar gosip dan cerita orang semata-mata.

“Saya tidak tahu siapa yang timbulkan cerita ini dan tidak pernah terfikir untuk bercinta dengan Mira. Tapi peminat sukakan kami seperti gandingan saya dengan Maya Karin sebelum ini.

“Antara saya dan Mira secara realitinya tidak bercinta. Kami cuma ada keserasian dalam lakonan. Namun apabila semua orang berdoa, mana tahu nanti jadi betul-betul pula. Saya tidak boleh nak jawab sekarang sama ada suka atau tak,” kata Remy jujur.

MIRA MAHU PUAS BERAYA

Mira mengulangi tradisi balik beraya di Ipoh dan Tronoh, Perak setiap tahun. Dia akan memastikan membuat persiapan dengan keluarga, datuk dan neneknya.

“Biasanya saya akan balik awal sebelum Aidilfitri kerana nak masak rendang sama-sama, susun kuih dan mengemas rumah.

“Tradisi orang lama masih ada. Di sana bukan moden sangat dan masih dapat rasa suasana kampung. Saya tak dapat cuti lama kerana pada 9 Jun akan memulakan penggambaran filem mini untuk jenama pakaian Uniqlo. Selepas itu saya akan terbabit dengan penggambaran drama Sweet Dreams arahan Michael Ang,” katanya.

Mira juga tidak merancang beraya ke rumah keluarga Remy di Melaka dan hanya akan menghabiskan masa bersama keluarga dan kawannya saja.

HARI RAYA HARI KEMENANGAN BUAT REMY

Remy akan pulang beraya bersama keluarganya di Masjid Tanah, Melaka. Sambutan Aidilfitri kali ini agak suram kerana adiknya terpaksa bekerja di Australia.

“Dia anggota tentera dan sering terbabit dengan misi pengaman. Kebiasaannya kami empat beradik akan berkumpul ketika Aidilfitri. Saya akan memanfaatkan Aidilfitri untuk menjalinkan hubungan rapat dengan keluarga dan saudara-mara.

“Saya meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa bersama keluarga. Ketika ini saya letakkan diri saya sebagai orang biasa dan bukan selebriti,” katanya yang juga tidak merancang untuk beraya ke rumah Mira.

Remy akan kembali bekerja pada hari raya kelima dan dia kini terbabit dengan drama Keluarga Bahadon untuk viu.com.

“Saya juga akan ke lokasi penggambaran drama Ombak Rindu arahan Osman Ali untuk saluran iflix. Peminat juga dapat menyaksikan lakonan saya menerusi filem Sangkar yang menggandingkan saya dengan Zul Ariffin dan Mira Filzah.

“Selain itu, saya juga berlakon dalam filem The Legend Of Pontianak bersama Fazura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:00 AM