LAPORAN portal Harian Metro mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun yang disahkan buta akibat terkena serpihan mercun bola yang meletup di Tanjung Batu, Nenasi, Pekan.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun yang disahkan buta akibat terkena serpihan mercun bola yang meletup di Tanjung Batu, Nenasi, Pekan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“ABAH, Yah (nama panggilan mangsa) sempat raya tak?” soal Muhammad Isyraf Firdaus, 10, kepada bapanya, Zulrisam Kadri, 43.

Muhammad Isyraf Firdaus memberi reaksi itu sebaik selesai menjalani pembedahan mata kanannya selepas ia disahkan buta akibat terkena serpihan mercun bola yang meletup di Tanjung Batu, Nenasi, Pekan, kelmarin.

Zulrisam berkata, pertanyaan itu diajukan anak sulungnya selepas selesai menjalani pembedahan semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sama ada dirinya masih boleh menyambut Aidilfitri atau sebaliknya.

Menurutnya, dia memberikan jawapan positif kepada anaknya dan meminta Muhammad Isyraf Firdaus tidak memikirkan soal hari raya sebaliknya fokus terhadap rawatan yang diterima di hospital.

Katanya, dia dan isteri Rohana Abdul Majid, 45, tidak memikirkan mengenai sambutan Aidilfitri buat masa ini kerana mahu anak mereka sembuh dan menjalani kehidupan harian seperti biasa.

“Doktor belum putuskan dia (Muhammad Isyraf Firdaus) perlu tinggal di hospital dalam tempoh berapa lama, buat masa sekarang saya yang menemani dia 24 jam di hospital dan uruskan segala keperluan dia,” katanya ketika ditemui di HTAA di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 petang kelmarin, Muhammad Isyraf Firdaus bersama beberapa rakannya dikatakan bermain mercun bola di kawasan taman permainan rumahnya sebelum mercun itu meletup dan mencederakannya.

Mangsa dikatakan menyalakan mercun berkenaan yang diletakkan di dalam tin sardin namun ia tidak meletup sebelum dia kembali memeriksa penutup tin itu dan berlaku letupan secara mengejut.

Akibat letupan itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi, mata kiri, hidung dan beberapa jari selain buta mata kanan.

Sementara itu, Zulrisam berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu dan berkemungkinan anaknya terpaksa berehat panjang sebelum kembali ke sekolah.

Katanya, biarpun segala persiapan Aidilfitri anak lelakinya itu sudah disediakan, namun segala ketentuan sudah ditetapkan dan dia dan isteri reda dengan apa yang berlaku.

“Kalau perlu beraya di hospital kami reda, apa yang penting anak kami perlu sembuh dan menerima rawatan yang sepatutnya,” katanya.

Zulrisam berkata, kejadian menimpa anaknya itu adalah pengajaran berguna untuk ibu bapa lain supaya tidak membenarkan anak mereka bermain mercun atau mengawasi tingkah laku mereka supaya tidak terbabit dalam aktiviti berbahaya itu.

Berita berkaitan

Beraya tanpa mata kanan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 4:15 PM