SITI rasai pengalaman berbeza setiap kali ke Tanah Suci daripada berpuasa hinggalah beraya di sana. FOTO: Foto Blackpepper Production (Instagram: @blackpepperproduction)
Sudirman Mohd Tahir

SAMBUTAN Aidilfitri keluarga penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa lebih meriah sejak kehadiran permata hati mereka, Siti Aafiyah yang kini berusia setahun dua bulan.

Malah, kemeriahan bertambah dengan keletah cucu mereka, Arif Jiwa iaitu anak Asyraf Khalid yang kini berusia dua tahun.

Tidak dinafikan, kedua-duanya memiliki aura tersendiri yang mampu memikat hati orang sekeliling. Malah, hubungan rapat Aafiyah dan Arif sebagai ibu dan anak saudara cukup mencuit hati.

Berkongsi mengenai sambutan 1 Syawal yang diraikan esok, Siti berkata, dia sekeluarga akan beraya di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang sama seperti sebelumnya.

“Ini tahun kedua Aafiyah menyambut Aidilfitri. Cuma, tahun ini dia sudah pandai banyak perkara termasuk sudah mulai berjalan. Kiranya, kali ini lebih meriah sebab nak melayan keletah Aafiyah.


KELETAH Arif dan Aafiyah menarik perhatian.

“Insya-Allah, raya pertama di Kuala Lumpur saja kerana anak suami pun di sini. Beraya di Kuala Lipis dan Kedah belum tahu lagi. Lagipun, mak saya merancang nak datang sini pada raya ketiga,” katanya.

Menurut Siti, dia juga tidak sabar mahu membawa Aafiyah berkunjung ke rumah sanak-saudara dan rakan taulan sekitar Kuala Lumpur.

“Pengalaman raya tahun lalu, dia baru enam bulan. Tak banyak ragam dan tidur saja. Jadi, saya pun tak banyak berjalan ke rumah orang. Lebih banyak masa di rumah dan tunggu tetamu datang berkunjung.

“Kali ini, sudah boleh bawa dia berjalan ke rumah kawan dan saudara. Cuma, kena ikut masa makan dan tidur dia. Sebelum ini, pernah bawa jalan apabila masa makan dia, kami kena bawa makanannya.

“Aafiyah pula kena makan ikut waktu. Tidur pun sama, kena cukup tidur baru dia tak meragam. Setakat ini, alhamdulillah,” katanya.

Siti berkata, selain menyediakan lima pasang baju kurung sedondon, Aafiyah juga mendapat banyak hadiah daripada peminat.

“Saya boleh katakan, Aafiah murah rezeki. Sejak dalam perut lagi orang bagi hadiah sampai lahir dan sekarang orang masih bagi hadiah. Terima kasih kepada peminat. Saya sangat berbesar hati.


SITI bersama Datuk K dan Aafiyah di Tanah Suci.

“Mereka tahu saya boleh beli untuk anak tetapi apabila dihadiahkan ia kegembiraan buat saya. Mereka suka apabila Aafiyah pakai. Setakat ini ‘headband’ paling banyak. Mereka tahu apa yang Aafiyah suka pakai,” katanya.

Siti yang baru pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada 2 Jun lalu turut berkongsi pengalaman membawa puteri kesayangannya itu.

“Saya gembira apabila pertama kali membawa Aafiyah. Ia rezeki Aafiyah. Saya bersyukur dapat bawa dia walaupun baru berumur setahun lebih. Ini kenangan manis selepas saya bergelar ibu.

“Sebelum ini setiap kali ke sana, saya selalu nampak wanita Arab bawa anak dan terdetik di hati suatu hari nanti saya pun nak seperti itu. Bawa bayi bersama dan duduk di sebelah saya ketika solat. Alhamdulillah, impian saya dimakbulkan Ilahi.

“Setiap kali ke Makkah akan dapat pengalaman berbeza. Saya sudah pernah pergi bulan biasa, awal Ramadan, pertengahan, hujung dan sambut raya di sana. Namun, keseronokannya tak boleh lawan penghujung Ramadan. Balik saja ke tanah air terus rasa rindu. Itu yang buatkan saya nekad kalau ada rezeki nak pergi setiap tahun. Dua tahun saya tak ke sana sebab hamil,” katanya.


ARIF bersama ibu bapanya, Asyraf dan Tya Ariffin.

ARIF ‘CALL’ AAFIYAH

Bagi Asyraf yang juga anak ketiga Datuk K, dia mengakui Arif sangat rapat dengan Aafiyah dan akan memastikan setiap minggu mereka akan berjumpa.

“Arif seorang ‘abang’ yang penyayang. Sejak kehadiran Aafiyah, dia memang suka cari Aafiyah malah minta saya atau ibunya menghubungi ayah atau Mak Iti (Siti) sebab nak bercakap dengan Aafiyah.

“Memandangkan kami tinggal di rumah lain, jadi setiap minggu saya akan bawa Arif berjumpa Aafiyah. Alhamdulillah, hubungan pun jadi semakin rapat,” katanya.

Berkongsi mengenai sambutan lebaran, Asyraf berkata dia dan isteri menyediakan tiga pasang baju Melayu buat Arif.

“Raya tahun ini Arif ada tiga pasang baju dan sepasang sedondon. Saya buat lebih sebab baju Melayu untuknya. Bolehlah pakai untuk acara lain selepas raya.

“Istimewa juga, baju Melayu Arif tahun ini lengkap dengan samping. Lagipun, dia sudah besar sikit, jadi sesuai untuk digayakan,” katanya.

Sama seperi Aafiyah, Arif yang juga pemenang kategori Si Cilik MeleTop Anugerah MeleTop ERA 2018 akan menyambut hari raya di Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, kami sekeluarga beraya di sini saja. Kalau tiada aral melintang, raya ketiga baru pulang ke Alor Setar, Kedah sekejap.

“Memandangkan isteri baru bersalin, jadi untuk pulang beraya di Indonesia kena dapat­kan nasihat daripada doktor dahulu sama sesuai atau tidak naik pesawat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 6:00 AM