Safawi (kanan) diasak pemain Nepal, Sujal Shrestha kelmarin.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


“SAYA harap cuba dapatkan padang yang terbaik untuk kami sebelum perlawanan kelayakan pertama lawan Timor Leste,” kata bintang muda negara, Safawi Rasid yang menggesa pihak bertanggungjawab supaya memperbaiki permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Timor Leste pada Jumaat dan Selasa ini.

Jelas penyerang Johor Darul Ta’zim itu, dia amat kecewa dengan keadaan rumput di Bukit Jalil yang menjejaskan rentak skuad Harimau Malaya apabila sekadar meraih kemenangan 2-0 ke atas Nepal biarpun memiliki deretan peluang untuk meledak gol dalam aksi persahabatan malam kelmarin.

Katanya, corak permainan hantaran pendek yang ditekankan jurulatih, Tan Cheng Hoe sukar digunakan apabila bola kerap melantun dan pergerakan perlahan ekoran permukaan rumput yang tebal.

“Bagi saya macam kita banyak buat hantaran dekat dalam permainan. Ia tak menjadi bola kadang susah nak kawal dan padang juga tak berada dalam kondisi yang baik.

“Tapi tak ada masalah dan bukan alasan, bagi kita kena teruskan fokus untuk aksi berikutnya kerana matlamat utama adalah untuk meraih tiket ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia,” katanya yang diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Dalam aksi itu, skuad negara meraih gol menerusi sepakan penalti Safawi pada minit ke-50 sebelum tonggak pertahanan Shahrul Saad menanduk gol kedua hasil sepakan percuma Mohd Nor Azam Abdul Azih pada penghujung permainan.

Menurut Safawi, dia turut menagih komunikasi dan kombinasi pasukan digilap dalam sesi latihan selepas ini kerana Timor Leste tidak boleh sesekali dianggap lawan mudah diratah biarpun rekod pertemuan lalu menyebelahi Malaysia.

“Kami kena tingkatkan keserasian pasukan dalam latihan. Bukan mudah lawan Timor Leste, jadi kenalah bersedia dari sekarang,” katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe turut menyalahkan permukaan padang dan rumput tebal yang dianggapnya menjejaskan corak permainan pendek anak buahnya.

Beliau mengakui masalah kualiti padang memberi impak kepada anak buahnya hingga sukar beraksi pada tahap kemampuan sebenar.

Bagaimanapun, beliau tetap lega apabila pemain pantas menyesuaikan diri dan meraih kemenangan yang dilihat penting bagi menaikkan motivasi pasukan sebelum turun menentang Timor Leste.

“Permukaan padang jelas tidak sesuai dengan cara kami bermain. Pergerakan pemain dan bola menjadi perlahan disebabkan padang terutama apabila berada dalam kawasan lawan. Ternyata situasi itu menyukarkan pemain untuk menjaringkan gol.

“Tapi ini bukan alasan, cuma secara jujurnya kita perlu perbaiki kelemahan ini untuk aksi berikutnya kerana gaya kami bermain memerlukan padang berkualiti,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 6:00 AM