SARIMAH mencium Muhammad Ilyas.
Redzuan Muharam

“KEHADIRANNYA menjadi pelengkap dalam hidup kami dan saya anggap dia sebagai anugerah tidak ternilai daripada Allah,” kata Sarimah Abd Hamid, 49, yang sanggup membesarkan anak angkat sindrom Down seperti anak kandung sendiri.

Sarimah yang bekerja sebagai kru bebas produksi filem berkata, anak angkatnya, Muhammad Ilyas yang kini berusia 17 tahun diserahkan sepasang suami isteri keturunan Cina ketika masih bayi dan dia bersetuju mengambilnya kerana tidak mempunyai zuriat.

Menurut Sarimah, dia bersyukur kerana suaminya, Shahril Abd Malek, 42, memberi keizinan untuknya berbuat demikian walaupun mengetahui keadaan Muhammad Ilyas yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU).

“Seperti pasangan lain, saya dan suami juga berharap dikurniakan zuriat selepas berumah tangga namun rezeki tidak menyebelahi kami.

“Sepanjang enam tahun pertama perkahwinan, pelbagai ikhtiar dilakukan untuk mendapatkan zuriat termasuk dengan menjalani rawatan kesuburan, persenyawaan luar rahim atau in-vitro (IVF), tetapi tidak berhasil.

“Namun, keajaiban berlaku ketika saya menjalani penggambaran di sebuah klinik apabila dipertemukan dengan sepasang suami isteri yang mahu menyerahkan anak mereka.

“Ikutkan, beberapa individu pernah menawarkan peluang sama sebelum itu, tetapi pintu hati saya hanya terbuka selepas bertemu dengan Muhammad Ilyas dan mujur, suami tidak membantah.


SARIMAH dan Shahril berswafoto dengan Muhammad Ilyas yang mengalami sindrom Down sejak lahir.

“Entah mengapa, saya terus jatuh cinta selepas kali pertama melihat wajahnya tanpa memikirkan langsung keadaan fizikal dan latar belakangnya yang berasal daripada keluarga bukan Islam,” katanya.

Bercerita lanjut, Sarimah berkata, selain mengalami sindrom Down, Muhammad Ilyas turut menghidap jantung berlubang hingga berumur lapan bulan.

Disebabkan tiada pengalaman membesarkan anak istimewa, Sarimah berusaha mendapatkan nasihat dan informasi daripada doktor terutama berkaitan cara penjagaan yang betul.

“Alhamdulillah, keluarga menerima keputusan saya dan suami untuk mengambil Muhammad Ilyas sebagai anak angkat dan mereka juga menatangnya seperti minyak yang penuh.

“Cuma, cabarannya untuk memahami karakter anak istimewa dan mempelajari cara penjagaannya tidak sama seperti kanak-kanak normal, tetapi kami dapat membiasakan diri dengan pertolongan satu sama lain.

“Kehadiran Muhammad Ilyas banyak mengubah sikap kami yang dulunya panas baran menjadi lebih penyabar,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Shahril tidak menjadikan status anak angkat sebagai penghalang untuk dia dan isteri mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada Muhammad Ilyas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 10:01 AM