FARIZAL.
Firdaus Hashim


KAPTEN Harimau Malaya, Farizal Marlias percaya moral pemain kebangsaan kini berada pada tahap tertinggi untuk menghadapi aksi timbal balik pusingan pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat dan Selasa ini.

Menurut penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi persahabatan Ahad lalu berjaya melonjakkan motivasi pemain ketika mereka wajib menang ke atas Timor Leste untuk meraih slot ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.

Malah katanya, keputusan baik mampu diperoleh jika pemain memberikan 100 peratus dalam persiapan menghadapi aksi itu nanti.

“Saya percaya sekiranya kami memberikan seratus peratus dalam persiapan ini, Insya-Allah kami mampu memperoleh keputusan terbaik.

“Bagi saya, semua pemain pasti mahu menang sekali gus layak, begitu juga saya. Apa yang penting, pasukan kena mengekalkan fokus untuk meningkatkan prestasi ketika bertemu Timor Leste nanti,” katanya.

Farizal, 32, yang dilantik sebagai ketua pasukan bagi menggantikan Zaquan Adha Abd Razak yang tidak disenaraikan jurulatih, Tan Cheng Hoe mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah kemampuan Timor Leste yang turut mengidamkan untuk mara ke pusingan berikutnya.

“Apa yang penting adalah taktikal, cara dan persembahan kami dalam perlawanan itu nanti. Jika kami bermain mengikut perancangan jurulatih ketika sesi latihan, Insya-Allah kami akan dapat atasi mereka,” kata bekas pemain Selangor dan Perak itu.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu empat kali sejak 2015, menyaksikan Malaysia menang tiga daripadanya dengan satu lagi aksi berkesudahan seri.

Malaysia yang kini berada di ranking 168 dunia, perlu menang perlawanan playoff untuk mara ke pusingan kedua kelayakan di mana enam pasukan yang menang akan menyertai 34 pasukan terbaik Asia dalam pusingan seterusnya termasuk juara Kejuaraan Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 6:00 AM