IKA merayu ibu kandungnya datang menjemputnya di rumah perlindungan untuk beraya bersama.
Nur Lela Zulkipli


“IBU, adik janji tidak akan minta ibu belikan apa-apa. Adik cuma nak salam dan peluk cium ibu. Sekejap pun jadilah.”

Itu rayuan remaja perempuan berumur 15 tahun yang ditinggalkan ibu kandung di rumah perlindungan di ibu kota selepas berkahwin kali kedua dan mempunyai keluarga baru.

Ika (bukan nama sebenar), dihantar ke rumah perlindungan itu tahun lalu kerana keadaan kewangan ibunya yang ketika itu tidak stabil dan tidak mampu menanggung makan minum anak selepas ditinggalkan suami.

Biarpun wanita berkenaan berjanji untuk menjemput anak tunggalnya itu selepas berjaya mendapat kerja, namun kehadiran insan yang paling disayanginya itu tidak pernah kunjung tiba.

“Saya terlalu rindukan ibu. Selama ini kami menyambut hari raya dalam keadaan sederhana, namun saya sangat gembira sebab boleh peluk dan cium ibu di pagi raya.

“Saya sanggup lakukan apa saja untuk ibu. Saya faham dia perlu dahulukan keluarga baru, cuma saya harap ibu janganlah lupakan saya begitu saja,” katanya.

Katanya, dia rela dihantar semula ke rumah perlindungan selepas pulang beraya dengan ibunya asalkan dapat menyambut lebaran ini bersama wanita berkenaan.

“Ibu jangan risau keadaan adik di sini. Adik dilayan dengan baik. Adik pun tidak akan paksa ibu ambil adik dari sini.

“Adik nak minta sangat salam tangan ibu...minta maaf dengan ibu pada pagi raya. Ibu dah lupakah semua ini?” katanya.

Menurut anak tunggal itu lagi, dia langsung tidak menyimpan perasaan marah apatah lagi dendam terhadap ibunya, malah mendoakan ibunya sentiasa bahagia di sisi keluarga baru.

“Adik tak pernah marah ibu tinggalkan adik di sini. Ibu dah buat yang terbaik untuk adik dari dulu. Tapi adik harap ibu janganlah buang adik dari hidup ibu.

“Adik janji tidak akan minta ibu lebihkan adik dari keluarga baru. Adik tiada siapa-siapa lagi dalam hidup ini...adik ada ibu saja,” katanya kepada Harian Metro.

Ika yang tidak pernah berjumpa bapanya sejak lahir mengakui terlalu merindui ibunya memandangkan ini adalah Ramadan pertama disambut tanpa wanita berkenaan.

“Kalau sebelum ini, ibu selalu bawa ke bazar Ramadan untuk beli makanan. Bila malam raya, ibu bawa jalan-jalan beli baju raya.

“Ika rindu sangat saat bersama dengan ibu. Tapi yang paling Ika rindu adalah salam tangan ibu dan minta ampun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 7:00 AM