Skip this ad x
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di Kuala Lumpur, bersama kira-kira 10,000 jemaah bersempena sambutan 1 Syawal.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di masjid itu kira-kira 8.20 pagi.

Seri Paduka berdua diiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa menteri Kabinet dan dif kehormat.

Sultan Abdullah dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimam dan dikhatibkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Sejurus selesai khutbah Aidilfitri, baginda beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan baginda.

Sultan Abdullah kemudian berkenan berangkat ke majlis ramah mesra dan santapan raya bersama jemaah Kabinet di Istana Negara.

Sementara itu, Syaikh Ismail ketika menyampaikan khutbah selepas solat sunat Aidilfitri bertajuk ‘Aidilfitri Penyubur Fitrah Insani’, mengingatkan bahawa umat Islam wajar menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dalam suasana keimanan yang kukuh selain mestilah dilakukan dalam kerangka syariat Islam.

Beliau berkata, kegembiraan itu mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih yang menjadi lambang perubahan diri untuk terus istiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

“Bagi mereka yang benar-benar berjaya menjadikan Ramadan sebagai medan didikan kerohanian, maka sudah tentu ia akan dapat mengecap perubahan hidup daripada kurang baik kepada yang lebih baik.

“Perubahan ini dicapai melalui amalan bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu sehingga sifat keji yang bersarang dalam hati dapat dibuang dan diganti dengan sifat yang murni dalam jiwa,” katanya.

Oleh itu, Syaikh Ismail menyeru seluruh umat Islam menjalinkan semangat perpaduan dengan menghubungkan silaturahim dengan amalan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi bagi merapatkan ukhuwah.

“Malah, tidak salah untuk menjemput golongan bukan Islam hadir ke rumah kita, lebih-lebih lagi apabila menganjurkan rumah terbuka.

“Sikap saling menyayangi, menjaga, memahami, memberi, berkongsi dan memaafi hendaklah ditonjolkan kepada mereka, sekali gus dapat mewujudkan suasana keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum yang wujud di negara kita,” katanya.

Umat Islam juga perlu beringat di samping kegembiraan menyambut Aidilfitri, ada saudara-mara seagama menyambutnya dalam keadaan sukar, bersendirian dan daif termasuk dialami oleh saudara Islam di negara yang bergolak.

“Walaupun kita dianjurkan untuk memeriahkan suasana hari raya dengan menghiasi rumah, menyediakan juadah, berpakaian indah serta memakai wangi-wangian, tetapi semuanya itu mestilah dilakukan secara sederhana dan tidak membazir serta terhindar daripada perasaan riak dan sombong, terutama ketika menganjurkan rumah terbuka.

“Demikian juga wajib kita memelihara adab berpakaian dan pergaulan supaya tidak melanggar batas syariat,” katanya.

Khutbah itu turut mengingatkan jemaah agar mendidik anak dengan adab sopan agar mereka tidak mensia-siakan perayaan Aidilfitri ini dengan perkara-perkara yang melalaikan dan merosakkan nilai silaturahim yang terjalin sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 10:44 AM
YANG di-Pertuan Agong diiringi Dr Mahathir yang berkenan hadir di Masjid Negara bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri hari ini. FOTO Bernama