Mohd Aiman, 14, menunjukkan kesan tapak kaki adiknya, Muhammad Aidil yang dikhuatiri lemas di Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Mohd Aiman, 14, menunjukkan kesan tapak kaki adiknya, Muhammad Aidil yang dikhuatiri lemas di Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


“SEJAK semalam Muhammad Aidil tak henti memujuk kami meminta membawanya ke Lagun Kuala Ibai, tak sangka pula jadi begini.”

Demikian kata Noraini Yahya, 42, ibu Muhammad Aidil Muhammad Razali, 9, yang dikhuatiri lemas di Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu hari ini.

Noraini berkata, anaknya itu yang tidak pandai berenang sekali lagi mengulangi permintaan mahu ke Lagun Kuala Ibai beberapa kali pagi ini, sebelum bapanya, Muhammad Razali Ibrahim, 38, menuruti permintaannya.

“Memang setiap kali pulang ke rumah ibu bapa saya di Kampung Tanjung Paya di sini, kami ke lagun ini untuk beriadah.

“Kerana kami sibuk beraya, Muhammad Aidil berkali-kali memujuk ajak ke sini sejak semalam kerana dia suka bermain di gigi air dan menikmati pemandangan di sini. Katanya pemandangan di sini cantik.

“Selepas bapanya bangun tidur, kami bersiap ke sini. Tak sangka pula jadi begini,” katanya.

Noraini berkata, naluri sebagai ibu tidak menolak anaknya itu lemas tetapi dia enggan berputus harap dan berdoa Muhammad Aidil ditemui selamat.

Katanya, Muhammad Aidil yang juga anak keempat daripada tujuh beradik juga berkelakuan pelik sejak semalam apabila makan dengan banyak berbanding kebiasaan agak susah untuk makan.

“Dia juga gembira hari ini. Semalam dia asyik makan dan makan dalam kuantiti banyak, pagi tadi pun dia makan bihun tambah beberapa kali,” katanya.

Muhammad Aidil dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika bermain air di Lagun Kuala Ibai, 10.15 pagi tadi.

Dalam kejadian itu mangsa yang bermain bersama enam adik beradiknya yang lain dikatakan terjatuh selepas pasir dipijaknya runtuh sebelum dihanyutkan air.

Berita berkaitan

Pilunya Syawal, anak dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 2:42 PM