ZAMRI menunjukkan  jebak yang sudah disiapkan untuk pelanggan. -Foto SHAHRIZAL MD NOOR
ZAMRI menunjukkan jebak yang sudah disiapkan untuk pelanggan. -Foto SHAHRIZAL MD NOOR
Noorazura Abdul Rahman


JEBAK burung wak wak dihasilkan bagi memikat burung berkenaan dulu sangat terkenal dalam kalangan peminat burung yang diburu untuk dimakan.

Di zaman moden ini, tidak ramai yang berminat melakukan aktiviti terbabit namun jebak burung itu masih dicari untuk dijadikan hiasan.

Bagi peniaga ini, dia menjadikan jebak burung sebagai sumber pendapatan tambahan menerusi kemahirannya menghasilkan jebak berkenaan dengan ukiran kayu dan anyaman yang sangat unik.

Zamri Shafiee, 50, mempelajari cara membuat jebak burung wak wak sejak zaman remaja daripada orang tua dahulu dengan menggunakan kayu dari hutan.

“Selain menggunakan kayu daripada pohon bongok dan ciku, kulit pohon meribu juga digunakan kerana sifatnya yang ringan dan tahan lasak daripada panas serta hujan.

“Jebak yang diperbuat daripada kulit pohon ini mampu bertahan ke tahap maksimum dan mungkin sehingga 100 tahun.

ZAMRI menyapu cat minyak pada keseluruhan jebak supaya kelihatan cantik dan tahan lama.
ZAMRI menyapu cat minyak pada keseluruhan jebak supaya kelihatan cantik dan tahan lama.

“Tapi untuk mencari kulit pohon itu saya perlu masuk ke hutan di Baling dan Sik. Walaupun kerja mencarinya memakan masa, kerja mengukir dan membentuk jebak itu lebih sukar dan mencabar,”katanya yang tinggal di Kampung Sungai Korok, Kubang Sepat, Jitra.

Bercerita mengenai idea ukiran jebak, Zamri berkata, setiap jebak dihasilkan berbeza dan eksklusif mengikut idea yang tercetus sendiri bersandarkan ilmu yang dipelajari sebelum ini.

Dia sangat teliti menghasilkan jebak berkenaan bagi memastikan pelanggan berpuas hati dan berbaloi dengan nilai yang dibayar.

“Setiap jebak mengambil masa antara sebulan hingga enam bulan untuk disiapkan bergantung kepada keunikan ukiran dan anyaman jebak berkenaan.

LILITAN buluh dibelah nipis sebelum disulam pada sangkar yang siap dipasang dawai.
LILITAN buluh dibelah nipis sebelum disulam pada sangkar yang siap dipasang dawai.

“Ada jebak milik saya sendiri mengambil masa hingga enam bulan untuk siap dan ia menjadi jebak istimewa buat saya.

“Yang pasti, saya tidak akan menjualnya walaupun ada pelanggan dari Kuala Lumpur menawarkan harga sehingga RM4,000,”katanya yang mula menjual jebak wak wak sejak 11 tahun lalu.

Zamri berkata, jebak yang dijual bermula pada harga RM900 bergantung kepada jenis kayu dan ukiran mengikut permintaan pelanggan.

Setiap bulan dia mendapat tempahan kira-kira tiga unit jebak burung wak wak dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

DAWAI dipasang pada kerangka kayu yang hampir siap dibentuk.
DAWAI dipasang pada kerangka kayu yang hampir siap dibentuk.

“Saya tidak mahu pembuatan jebak burung wak wak ini lenyap begitu saja, jadi saya perlu mewariskan kemahiran ini kepada golongan muda. Alhamdulillah ada anak muda kampung yang sanggup datang dan menuntut ilmu dari saya,” katanya.

 ZAMRI meratakan permukaan kayu yang sudah  dijemur untuk dipotong bagi menghasilkan pemegang sangkar sebelum diukir mengikut permintaan pelanggan.
ZAMRI meratakan permukaan kayu yang sudah dijemur untuk dipotong bagi menghasilkan pemegang sangkar sebelum diukir mengikut permintaan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 6:10 AM