BERKEBUN menjadi hobi Subbarow hingga mendorongnya menjadikan belakang Pejabat CAP sebagai kebun.
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


GEORGETOWN: Ada dalam kalangan kita hanya menanam pokok, tetapi tidak menyedari ia mempunyai khasiat penyembuhan dan berfungsi sebagai herba.

Malah, ada antaranya yang dipanggil pokok hiasan itu sudah digunakan sejak zaman dahulu dalam perubatan tradisional.

Pegawai Penyelidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, masyarakat kini lebih gemar membeli ubat daripada mencegah atau merawat menggunakan bahan atau herba semula jadi.

Walaupun tidak memberi penyembuhan segera, katanya, penggunaan atau pengambilan herba secara sederhana adalah menyihatkan serta terhindar daripada bahan kimia.

Subbarow berkata, antara herba yang sering ditanam di rumah dan kawasan terbiar ialah pokok kucing galak atau nama saintifiknya Acalypha Indica.

“Bagi penyakit kulit, daun kucing galak boleh dikisar dengan garam dan disapu pada bahagian yang terkena jangkitan atau daunnya yang kering dikisar halus serta dicampur dengan minyak kelapa dara sebelum disapu pada luka.

“Air rebusan daun daripada pokok letup-letup Cardospermum halicacabum yang sering ditemui tumbuh liar juga boleh memberi kelegaan kepada masalah buasir, sembelit dan batuk yang teruk.

“Sementara, air daun setawar Kalanchoe pinnata boleh disapu pada bahagian yang cedera bagi menghentikan pendarahan, mengubati luka tanpa meninggalkan parut selain mengurangi bengkak,” katanya ketika ditemui di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri.


SUBBAROW menunjukkan pokok misai kucing.

Subbarow berkata, pokok kemangi atau Ocimum tenuiflorum yang sering digunakan bagi perubatan ayurveda juga boleh bertindak sebagai peningkat selera dan merangsang penghadaman.

Selain anti-kanser, daunnya boleh dikunyah bagi mengurangkan sakit gigi serta berfungsi sebagai anti penuaan.

Subbarow antara kakitangan pertubuhan itu yang bertugas menjalankan penyelidikan mengenai khasiat herba dan kaedah penanamannya.

Menyedari kepentingan herba, Subbarow berkata, pihaknya turut menanam 42 jenis herba di bahagian belakang Pejabat CAP yang diusahakan sejak lapan tahun lalu bersama seorang lagi pegawai penyelidikan dibantu dua tukang kebun.

CAP turut memberi galakan kepada orang ramai khususnya suri rumah mengenai penanaman herba yang asas dan perlu ada di rumah selain mencampurkannya ke dalam makanan yang dimasak setiap hari.

“Jika ini diamalkan, amalan membeli produk yang dikatakan mempunyai herba boleh dielakkan serta menjimatkan wang.

“Selain membuat demonstrasi penjagaan dan penanaman di sini, kami turut menjual benih herba pada harga RM5 serta baja organik yang berharga antara RM4 hingga RM6,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 6:00 AM