ALIRAN trafik di Plaza Tol Bentong sesak dari arah Pantai Timur ke Kuala Lumpur berikutan warga kota mula pulang selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, semalam.
ALIRAN trafik di Plaza Tol Bentong sesak dari arah Pantai Timur ke Kuala Lumpur berikutan warga kota mula pulang selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


KUALA LUMPUR: Tempoh perjalanan hampir 11 jam bagi perjalanan dari Permatang Pauh, Pulau Pinang ke Bukit Beruntung, Selangor amat luar biasa.

Itu situasi terpaksa diharungi seorang kakitangan swasta bersama keluarganya yang memandu pulang ke rumahnya, kelmarin kerana mula bekerja, semalam.

Menurut Ismail Mohamad, 40-an, dia memulakan perjalanan balik melalui Lebuhraya Utara-Selatan dari Permatang Pauh kira-kira jam 4 petang.

Katanya, aliran trafik mula perlahan sebaik berada di Plaza Tol Juru, iaitu membabitkan pergerakan kenderaan pada kelajuan sekitar 30 hingga 40 kilometer per jam.

“Sebaik masuk ke sempadan Perak, aliran trafik semakin perlahan dengan kenderaan bergerak sedikit atau bumper to bumper dan ada ketikanya kenderaan berhenti seketika sebelum kesesakan bertambah teruk di Taiping apabila lalu lintas tidak bergerak.

“Akibat kesesakan terlalu teruk, saya terus memandu kenderaan ke susur keluar Kuala Kangsar untuk singgah ke tandas di stesen minyak berhampiran kira-kira jam 10 malam (kelmarin).

ALIRAN trafik sesak di Lebuhraya Plus arah selatan berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan berikutan orang ramai mula pulang ke ibu kota.
ALIRAN trafik sesak di Lebuhraya Plus arah selatan berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan berikutan orang ramai mula pulang ke ibu kota.

“Di stesen minyak di kawasan Kuala Kangsar juga penuh dengan orang kerana ramai yang berhenti untuk ke tandas,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Wan Ismail berkata, dia sekeluarga turut singgah makan di sekitar Kuala Kangsar sebelum meneruskan perjalanan.

“Ada sesetengah Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang laluan menuju ke Kuala Lumpur dari arah utara ditutup kerana dipenuhi dengan orang ramai termasuk R&R Sungai Perak.

“Ketika saya menyambung semula perjalanan dari Ipoh ke Simpang Pulai, aliran trafik begitu sesak hingga sejauh sehingga lima kilometer,” katanya.

Katanya, selepas menempuh kesesakan trafik itu, dia sekeluarga tiba di rumahnya di Bukit Beruntung kira-kira jam 4 pagi iaitu hampir 11 jam.

“Kesesakan trafik ketika pulang beraya pada tahun ini agak teruk berbanding tahun lalu. Jika dibandingkan dengan tempoh perjalanan dari Permatang Pauh ke Bukit Beruntung pada waktu biasa hanya mengambil masa tiga jam sahaja,” katanya.

JUMLAH kenderaan meningkat di Plaza Tol Juru ketika orang ramai mula pulang ke ibu kota.
JUMLAH kenderaan meningkat di Plaza Tol Juru ketika orang ramai mula pulang ke ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 6:30 AM