PENEMBAK air bertekanan tinggi yang digunakan pelombong.
PENEMBAK air bertekanan tinggi yang digunakan pelombong.
Mohd Rafi Mamat


KUANTAN: Mampu meraih pendapatan ratusan ribu ringgit hasil perlombongan emas dan bijih besi menjadikan sekumpulan warga asing sanggup memperjudikan nyawa tinggal dalam hutan di negeri ini.

Mereka yang diupah lumayan oleh syarikat tempatan dipilih kerana pakar mencari emas dan bijih besi selain lasak dan sanggup tinggal lama dalam hutan.

Sumber Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berkata, lombong haram yang dibuka berkeluasan kecil antara tiga hingga lapan hektar bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

Pelombong warga Indonesia, Bangladesh dan China ini akan melakukan tinjauan di kawasan hutan berpotensi mempunyai hasil galian seperti emas dan bijih besi sebelum menanda kawasan berkenaan.

Katanya, sebaik ditanda mereka akan melakukan proses membersihkan kawasan hutan termasuk menebang balak menggunakan jentera berat.

“Kegiatan ini kebiasaannya dilakukan pada waktu malam bagi mengelak dikesan. Mereka turut menggunakan lori hantu bagi membawa keluar balak sebelum proses melombong dijalankan,” katanya.

PEGAWAI penguat kuasa JPNP menyoal pekerja lombong emas di Hutan Simpan Kekal Ulu Jelai.
PEGAWAI penguat kuasa JPNP menyoal pekerja lombong emas di Hutan Simpan Kekal Ulu Jelai.

Sumber berkata, aktiviti ini dikesan turut dilakukan di kawasan hutan simpan yang sudah diwartakan kerajaan negeri.

Kumpulan warga asing ini akan bergerak dalam kumpulan kecil antara tiga hingga lima orang selain membaca senjata seperti parang dan kapak bagi melindungi diri sekiranya berdepan ancaman pihak berkuasa.

Antara kawasan sering dilaporkan diceroboh adalah di Raub dan Lipis.

Sementara itu, tinjauan wartawan di kawasan bekas lombong haram ditinggalkan kumpulan ini di Raub mendapati terdapat kawasan perkhemahan dibina selain sisa makanan dan unggun api.

Wartawan difahamkan syarikat yang membiayai kumpulan warga asing ini turut menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, sumber JPNP berkata, seramai 15 Pati ditahan dalam operasi membanteras kegiatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 9:00 AM