Muhammad Hilman membuat laporan polis berhubung video intim yang mengaitkan Mohamed Azmin di IPD Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Irwan Shafrizan Ismail


SETIAUSAHA Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran video lucah yang mengaitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan lelaki dikenali Haziq Aziz.

Laporan itu dibuat Hilman yang juga Timbalan Ketua AMK Pusat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Hilman berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa polis melakukan siasatan terhadap penularan video berkenaan.

“Satu laporan sudah dibuat 10.38 pagi tadi dan sudah diterima polis,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar IPD Putrajaya.

Beliau juga selepas ini dijangka membuat laporan qazaf (tuduhan berzina) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Putrajaya.

Semalam Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan menafikan pembabitannya dalam video lucah yang tersebar sejak semalam dan menyifatkannya tuduhan jahat serta kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Awal pagi semalam, seorang individu mendakwa terbabit sama dalam video itu, dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terbabit dalam aksi berkenaan.

Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz mendakwa video itu dirakam 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Berita berkaitan

'Saya tak rasa ia benar'

Mohamed Azmin kekal Timbalan Presiden PKR [METROTV]

Azmin nafi terbabit video lucah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 12:09 PM