AMIR Hamzah (tengah) melayan tetamu pada Majlis Mesra Aidilfitri TNB di Dewan Sebaguna Kompleks Sukan TNB.


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi tumpuan sepenuhnya dalam menyelesaikan semua aduan diterima termasuk melakukan siasatan terperinci berhubung isu bil elektrik tinggi dihadapi pengguna.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan berkata, fokus beliau buat masa ini adalah untuk menyelesaikan isu berkaitan pengguna itu.

“Setakat yang saya lihat semalam (kelmarin), kita dapat dalam 18,600 aduan dan pertanyaan. Pasukan kita telah menyelesaikan lebih daripada 15,000 aduan. Alhamdulillah ada kemajuan.

“Jadi, sampai kita dah habis selesaikan semua orang, kita masih fokus nak menyimpulkan siasatan.

“Kita perlu fahami apa isu sebenar dan macam mana nak memantau agar tidak berulang balik. Itu fokus saya,” katanya pada Majlis Mesra Aidilfitri TNB, semalam.

Harian Metro melaporkan syarikat pembekal tenaga elektrik utama negara itu akan dikenakan penalti oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) selepas didapati melakukan beberapa kesalahan dan ketidakpatuhan menyediakan perkhidmatan utiliti kepada pengguna.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, ST sedang menyenaraikan jumlah kesalahan dilakukan TNB sebelum mengumumkan penalti yang perlu dibayar syarikat itu.

Katanya, siasatan mendapati TNB melakukan kesalahan kerana tidak menepati prestasi perkhidmatan piawai ditetapkan kementerian dalam menyediakan perkhidmatan elektrik.

Ditanya berhubung tindakan penalti itu, Amir Hamzah berkata, buat masa ini beliau belum melihat perkara berkenaan.

“Yang penting untuk kita selesaikan masalah yang kita ada ni dulu. Kita berkhidmat untuk pengguna, (itu) yang paling pentinglah,” katanya yang turut menjelaskan TNB selalu bekerjasama dengan ST.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 6:00 AM