Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


“SERONOK lihat Ainul Mardhiah hisap jari sambil melihat kiri dan kanan.

“Sebelum masuk ke wad biasa hari ini (semalam), sempatlah Ainul jalan-jalan dalam hospital,” kata ibu Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, Nurul Erwani Zaidi, 24, menerusi status di Instagram (IG).

Menurutnya, dia teruja melihat perkembangan anaknya yang berusia sembilan bulan itu selepas menjalani pembedahan Isnin lalu.

“Setiap kali saya membaca al-Fatihah dia tersenyum.

“Tangan Ainul memang tidak boleh duduk diam. Dia mesti nak pegang sesuatu barulah dia diam dan tidur.

“Kalau selimutkan atau balut tangan dia tak sampai seminit dia keluarkan.

“Bila tengok bayi lain dalam wad ini semua diam saja kena balut, sampai dekat Ainul dia seorang saja yang nak bebaskan tangan,” katanya.

Nurul Erwani berkata, perkembangan positif anaknya apabila Ainul sudah membuka mata seolah-olah mahu berbicara dengannya.

“Ainul juga sudah pandai nak tutup mulut sikit-sikit,” katanya.

Laman sosial Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, turut berkongsi kegembiraan perkembangan terbaru anaknya itu.


Ainul Mardhiah kini sudah boleh hisap jari. FOTO Instagram Nurul Erwani

“Tengoklah tangannya selalu nak masuk mulut sampaikan jururawat tidak tahu nak buat apa.

“Nak ikat tangannya, mereka kasihan dan tak sampai hati akhirnya mereka biarkan tangan Ainul keluar.

“Dua hari lalu, selepas Ainul sedar dari pembedahan, perkara pertama yang dia buat adalah cuba nak keluarkan tangan dia dari balutan itu. Bukan main lagi dia meronta-ronta nak keluarkan tangan,” katanya.

Katanya, jururawat yang menjaga anaknya di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), The Imperial College Healthcare NHS, London, membiarkan Ainul mengeluarkan tangannya.

“Kalau dulu masa di rumah Ainul paling tidak suka selimut.

“Kalau kita selimutkan dia esok pagi selimut sudah jatuh bawah kaki,” katanya.

Isnin lalu, Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’ itu dilaporkan stabil, tetapi masih direhatkan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada mulutnya di sebuah hospital di London.

Berita berkaitan

'Doakan Ainul Mardhiah boleh tutup mulut segera'

Tabik doktor

Dr Nur Amalina jadi trend di media sosial

[UPDATE] 'Terima kasih Dr Nur Amalina'

[UPDATE] Ainul Mardhiah sudah sedar

'Ainul... bayi yang kuat'

ComelnyaAinul Mardhiah

Tumor 200g dikeluarkan [METROTV]

Alhamdulillah, Ainul selamat dibedah...

[UPDATE] Ainul dibedah waktu terdekat

'Terima kasih semua, doakan Ainul'

'Kuat ya anak, kemenangan menunggu mu'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 11:40 AM