RAKAMAN video menunjukkan seorang lelaki dengan seragam tentera menanggalkan pakaiannya sambil melakukan aksi lucah melampau. FOTO Ihsan Pembaca
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


PANGLIMA Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menegaskan anggotanya tidak layak memakai uniform pasukan keselamatan negara sekiranya didapati terbabit dengan perbuatan tidak bermoral.

Beliau memberi reaksi itu berikutan tindakan seorang lelaki dipercayai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan aksi lucah dalam rakaman video dengan memakai seragam tentera yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Ahmad Hasbullah menyelar perbuatan individu dalam video itu yang dianggapnya sebagai ‘penyakit’ masyarakat dalam mendepani kepesatan teknologi maklumat dan beliau mengakui anggota ATM sendiri tidak terlepas melakukannya.

“Kami akan mengambil tindakan jika perkara itu benar dan pada anggota yang melakukan aksi terbabit, mereka tidak layak memakai pakai uniform (ATM) ini.

“Apabila dapat pengesahan, tindakan akan diambil kerana kita juga sebahagian dari masyarakat,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Aidilfitri Tentera Darat di Dataran PTD Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Video yang tular berdurasi lebih empat minit itu dihantar dalam satu kumpulan WhatsApp pesara tentera, pada 11 malam Rabu lalu.

Rakaman video itu menunjukkan seorang lelaki dengan seragam tentera menanggalkan pakaiannya sambil melakukan aksi lucah melampau.

Seorang daripada ahli dalam kumpulan WhatsApp itu kemudian membuat laporan polis berhubung rakaman video berkenaan.

Berita berkaitan

Polis siasat aksi 'tentera' terlampau

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 11:30 PM