FASILITI moden dan himpunan pemain bintang dalam skuad JDT membolehkannya memiliki 2 juta pengikut di media sosial. FOTO Facebook JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim

NILAI pasaran semasa kelab dan pasukan di Liga Malaysia (Liga-M) dianggarkan sekitar RM20 juta-RM100 juta berdasarkan reputasi dan jenama pasukan, fasiliti dan aset tetap pasukan, barisan pemain serta kekuatan penyokong terutama di media sosial.

Bagaimanapun, daripada anggaran berkenaan Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul pasukan paling mahal di Liga-M dengan nilai sekitar RM250juta-RM300 juta atas fasiliti moden dimiliki, himpunan pemain bintang dalam skuad itu serta bilangan pengikut 2 juta orang di media sosial.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, penilaian itu dilihat berdasarkan pasaran semasa yang turut digunapakai di Eropah ketika ini.

Katanya, nilai rendah kebanyakan pasukan disebabkan ketiadaan aset tetap seperti padang latihan dan stadium sendiri yang masih mengharapkan bantuan pihak tertentu selain ada yang menyewa kemudahan berkenaan.

“Banyak faktor menyebabkan nilai atau harga saham sesebuah pasukan ditentukan. Berdasarkan pemerhatian saya, pasukan elit seperti Selangor, Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu dalam nilai RM50 juta ke RM100 juta kerana branding mereka yang kuat selain mempunyai ‘fan base’ yang kuat.

“Bagi pasukan lain seperti Kuala Lumpur, PKNS FC, Sarawak dan lain-lain bawah RM20 juta, namun JDT contoh kelab terbaik dengan nilai pasaran cukup mahal di Liga-M hingga mencecah RM300 juta.

“Perlu diketahui satu perkara, sekarang faktor media sosial turut dinilai dengan pelabur atau pembeli akan melihat berapa ramai pengikut kelab di media sosial. Kalau ramai maka lagi mahal kelab terbabit.

“Jadi, secara keseluruhan saya beranggapan pasukan liga tempatan mampu dimiliki oleh jutawan di negara ini atau jutawan luar sekaligus membantu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) menswastakan pasukan sebagai kelab persendirian,” katanya kepada Arena Metro, kelmarin.

Beliau mengulas laporan eksklusif akhbar ini mengenai usaha FAM untuk memastikan semua pasukan dalam Liga-M mempunyai sebuah organisasi kelab yang berlesen untuk menjalankan aktiviti secara berasingan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) menjelang musim 2021.

FAM juga sudah mewujudkan jawatankuasa baharu di bawah Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional untuk memberi penerangan dan kefahaman kepada semua persatuan bola sepak negeri.

Effendi yang berpengalaman luas selaku ejen pemain dan pakar bidang komersial pasukan turut menjelaskan, selain kaedah pemilikan tunggal, penswastaan pasukan juga boleh dilakukan dengan kaedah kedua iaitu pemilikannya dikongsi bersama penyokong.

“Di EPL (Liga Perdana Inggeris) memang majoriti kelab dimiliki oleh orang kaya, namun di LaLiga pula berbeza kerana di Sepanyol pemilik kelab adalah penyokong.

“Misalnya Barcelona, penyokong turut mempunyai saham kelab dan apa jua keputusan akan dibuat secara bersama dengan pemegang saham terbesar dan penyokong.

“Jika tidak ada VVIP yang sanggup mengendalikan pasukan liga tempatan, mungkin FA boleh buat kaedah seperti Barcelona dan segala untung rugi akan dirasai kedua-dua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 7:01 AM
Skip this ad x