MANGSA diselamatkan selepas empat hari terjatuh ke dalam longkang di Padang Jawa, Shah Alam. (Gambar kanan) mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. FOTO ihsan pembaca


LELAKI berusia 60-an bernasib baik apabila diselamatkan suami isteri selepas dipercayai terjatuh di dalam longkang di Padang Jawa, Shah Alam, sejak empat hari lalu.

Peniaga gerai makanan, Rusma Samsudin, 39, berkata, dia hanya mengetahui lelaki itu berada di dalam longkang berkenaan melalui anak jirannya berusia enam tahun, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian memberitahu suaminya, Wan Mohd Zul Haffizi Wan Hussin, 30, serta dua pekerjanya untuk memeriksa longkang berkenaan yang terletak berhampiran rumahnya.

“Apabila memeriksa longkang berkenaan, kami terkejut apabila melihat seorang lelaki agak berusia berada di dalam longkang itu.

“Kami ingat lelaki itu sudah ‘tiada’ apabila tidak menyahut ketika dipanggil. Namun, dia menggerakkan kakinya tidak beberapa lama kemudian.

“Dia kelihatan sangat lemah dan hampir seluruh badannya disaluti lumpur. Kami cuba bercakap dengannya, namun dia tidak berdaya untuk mengeluarkan suara,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Rusma berkata, suami dan dua pekerjanya mengangkat serta mengeluarkan lelaki itu dari dalam longkang berkenaan.

Menurutnya, mereka membawa mangsa ke rumah untuk memandikan lelaki itu serta memberikan minuman dan makanan selain pakaian yang baru sebelum menghubungi ambulans.

“Selepas makan, dia kemudiannya mula bersuara namun tidak beberapa jelas. Dia memaklumkan sudah empat hari berada di dalam longkang itu dan cuba menjerit meminta pertolongan, namun tidak didengari.

“Saya cuba bertanyakan kepada jiran jika mengenali lelaki itu, namun, tiada siapa tahu. Dia memaklumkan tidak berkahwin dan tidak mempunyai keluarga lain,” katanya.

Rusma berkata, lelaki itu dibawa ke Hospital Shah Alam (HSAS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Terdahulu, Rusma memuat naik status di Facebook bersama beberapa keping gambar mengenai seorang lelaki tua jatuh di dalam longkang.

Tindakan beliau memandikan serta memberikan makanan kepada lelaki itu dipuji netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 4:57 PM