MD Dali. FOTO/NSTP
Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my


TIADA lagi belas ihsan atau peluang kedua buat mana-mana pengadil sebaliknya Jawatankuasa pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan terus menggantung individu berkenaan jika didapati bersalah atas keputusan meragukan.

Pengerusinya, Md Dali Wahid berkata, kredibiliti pengadil sering dipertikaikan banyak pihak yang melihat keputusan pegawai perlawanan sebagai meragukan atau tidak masuk akal.

Justeru, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk pihaknya mengambil tindakan drastik dengan mengenakan hukuman lebih berat sebagai pengajaran, sekali gus memperbaiki lagi mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M).

“Kita akan menyiasat setiap aduan yang diterima jawatankuasa pengadil FAM bagi memastikan individu itu diadili dengan sewajarnya tanpa prejudis. Bukan mahu menghukum, namun ada beberapa keputusan yang dibuat pengadil meragukan dan bagi mengelak perkara sama berulang, selepas ini tiada lagi amaran namun mereka akan terus digantung.

“Saya akan berjumpa dengan pengadil esok (hari ini) dan mendapatkan penjelasan berkaitan beberapa insiden yang berlaku sebelum ini sebelum memberi taklimat berkaitan perkara terbabit,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, beberapa perlawanan Liga M dicemari dengan insiden membabitkan keputusan pengadil hingga mendapat cemuhan pasukan dan peminat sukan nombor satu itu.

Md Dali berkata, mengikut rekod, pihaknya menerima 10 aduan daripada pegawai penilai pengadil membabitkan keputusan meragukan.

“Lima laporan pula diterima daripada pasukan sepanjang 15 perlawanan sebelum ini, sekali gus dilihat mutu pengadilan perlu dipertingkatkan lagi bagi mengelak kredibiliti mereka dipertikaikan. Namun, tidak semua aduan itu adalah kesilapan pengadil dan sebab itu kita akan menyiasat sebaik mungkin dengan mengambil keterangan sebelum hukuman diberikan,” katanya.

Sementara itu, pihaknya belum lagi menentukan identiti pengadil import yang akan diguna pakai di Liga M dan tidak menolak mungkin individu terbabit akan membuat kemunculan pada saingan musim depan.

“Kita belum lagi menentukan bila kita akan menggunakan khidmat pengadil import cuma perbincangan dengan pihak tertentu sudah dilakukan dan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:02 AM