Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


BERMULA dengan hanya 25,000 pengunjung pada 2014, kini laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mencecah 11 juta pengunjung yang mahu mencari jawapan, hukum dan fatwa.

Bukan saja itu, Facebook PMWP kini mencecah 400,000 pengikut diikuti Instagram hampir setengah juta manakala Twitter pula hampir 60,000 pengikut.

Semuanya dengan satu niat, supaya bentuk dakwah alaf baru ini melebar luas hingga ke sasaran dari hujung kampung sehingga ke benua lain.

Berkongsi objektif sebenar Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menggunakan pendekatan berbeza dalam berdakwah, beliau mahu peluang itu digunakan sebaiknya untuk menyebar dakwah hingga ke golongan sasaran.

“Kuasa media sosial ini cukup besar, malah golongan cerdik pandai mengatakan sesiapa yang menguasai media maka dia yang menguasai negara, masyarakat dan ummah.

“Lihat saja sejarah bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ketika menang dalam pusingan kedua pilihan raya lalu, dia menang akibat pengaruh media sosial apabila menyantuni dan menyapa seberapa banyak rakyat Amerika sehingga kemenangan berpihak kepadanya,” katanya dalam temubual khas bersama Harian Metro di pejabatnya.

Dr Zulkifli berkata, beberapa ulama mengemukakan pendapat mereka dalam media sosial masing-masing menjadikan masyarakat mudah mendapatkan maklumat daripada badan berwajib.

“Dengan dunia serba moden bukan bersifat arkib lagi, kini orang ramai tidak perlu mencari, menaiki tangga dan mengetuk pintu pejabat Mufti, tetapi maklumat semua berada di hujung jari.

“Objektif saya mengaktifkan laman sosial ini bermula sejak menjadi Mufti Wilayah Persekutuan pada Jun 2014.

“Saya buat keputusan supaya perlu anjakan paradigma apabila dilihat media sosial terutama Facebook nampak peranannya apabila maklumat dikongsi tersebar cukup hebat diikuti WhatsApp, Instagram dan YouTube.

“Kami aktifkan semua media sosial yang ada dan ini bentuk dakwah yang akan sampai ke sasaran. Saya teringat pernah disebut Yusof al-Qardawi dalam kitabnya iaitu memperkasakan media sosial sebagai salah satu daripada sasaran dakwah untuk masyarakat dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.

Katanya, menyedari hal itu, pihaknya mula menggerakkan laman sosial PMWP yang kini menjadi rujukan segenap lapisan masyarakat mengenai hukum dan kefatwaan yang dijawab dalam bentuk tulisan.

“Laman web PMWP ketika awal dulu hanya mencatatkan 25,000 pengunjung.

“Bagaimanapun, selepas beroperasi selama enam tahun kami mencatatkan 11 juta pengunjung dan inilah kekuatan laman web ini.

“Kami melakukan kemas kini data setiap hari bergantung kepada isu, dan secara purata ada 3,000 jawapan dijawab,” katanya.

Akuinya, pasukan dimiliki cukup membantunya dalam menghasilkan ‘hidangan jawapan’ kepada masyarakat.

“Mereka ini terdiri daripada golongan muda berusia 20 hingga 30-an dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

“Kumpulan ini terdiri daripada lima hingga enam orang yang melihat sesuatu isu dan mencari jawapan berdasarkan pelbagai sumber.

“Kami menerima pelbagai soalan daripada semua laman sosial dan di situ satu urusetia melakukan pengumpulan dan penyelarasan untuk setiap soalan supaya tidak berlaku pertindihan,” katanya.

Menurutnya, pilihan dan agihan soalan akan melalui Ketua Unit Buhuth dan kakitangannya sebelum penapisan soalan dilakukan.


PASUKAN media sosial PMWP melakukan perbincangan mengenai isu semasa.

“Seterusnya, soalan diagihkan kepada asatizah penyelidik mengikut kepakaran masing-masing sebelum semakan terakhir jawapan dilakukan saya sendiri.

“Penyesuaian dan pemadanan isu yang dikaji dengan kerangka hukum fiqah yang sedia ada dinilai sama ada sudah ada rujukan isu baru yang memerlukan ijtihad semula.

“Kemudian, tanzil al-hukm melalui pendalilan yang tepat diputuskan saya sebelum jawapan dan fatwa dikeluarkan,” katanya.

Katanya, setakat ini walaupun 3,000 jawapan dikeluarkan, pihaknya hanya menerima aduan kurang 15 yang mungkin tidak sependapat dengan mereka.

“Perkara biasa sangatlah bila orang tidak sependapat dengan kita namun yang penting sudah nampak masyarakat kini dididik untuk kembali kepada fatwa dan mereka sudah terima.

“Selain itu, terkini apa yang kami lakukan membuat infografik yang digunakan secara meluas di seluruh masjid Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya.

Ditanya siapakah di sebalik pasukan media sosial PMWP, Dr Zulkifli berkata, siapa mereka tidak penting asalkan mereka ada minat dan kesungguhan.

“Mereka perlu faham apa yang saya mahu, denyut nadi nafas saya kena faham, sebab tu mereka tidak boleh semberono dalam menjawab setiap persoalan.

“Mereka perlu merujuk dulu terutama dalam isu sensitif atau kontroversi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:20 AM
DR Zulkifli memberikan panduan kepada anggota pasukan media sosialnya.