Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


MENDAKWA dia tidak dapat mengawal apa yang berlaku kerana dipercayai terlalu khayal malah mengaku memandu dalam keadaan mabuk.

Demikian antara kandungan rakaman video amatur yang tular berhubung kejadian seorang wanita maut selepas kereta dipandu seorang lelaki merempuh gerai nasi lemak tempat mangsa berkerja di Taman Bertam Indah jam 9.40 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia di Hospital Kepala Batas (HKB) akibat kecederaan parah dialami manakala suaminya Mat Subri Saad, 44, yang berada bersamanya turut parah.

Rakaman berkenaan turut menunjukkan pemandu kereta berusia 31 tahun itu yang tertekan dimarah dan cuba dipukul orang ramai, turut mengugut untuk membunuh dirinya.

Suspek dilihat beberapa kali cuba menjelaskan bahawa kejadian itu bukan kesalahannya.

Dia yang duduk di atas bekas pencawang elektrik yang terbalik itu dengan gaya berseloroh dan dilihat sambil ketawa mengugut untuk membunuh diri kerana diasak dengan pelbagai soalan serta ada beberapa penduduk di situ yang memarahinya kerana menjadi punca kejadian itu.

Ketika mengugut untuk membunuh diri, orang ramai yang berada di situ menyokong tindakan suspek untuk berbuat demikian malah ada yang mahu mencampaknya ke kawasan pencawang elektrik yang rosak di situ agar terkena renjatan.

Sementara itu, Mat Subri berkata, isterinya sering memberitahu dia rindukan bapanya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu, malah selalu memuat naik perasaannya itu di status media sosialnya.

Katanya, ketika kejadian, dia dan isterinya menyusun nasi lemak seperti kebiasaan sebelum tiba-tiba dia terdengar bunyi brek kereta.

“Saya terdengar bunyi brek kereta yang kuat dan nampak kereta menghala ke arah kedai. Saya dan isteri tidak sempat menyelamatkan diri sebelum dirempuh dan tercampak ke belakang,” katanya.


MAT Subri (kanan berbaring di katil) dibawa ke bilik mayat bagi melihat jenazah Roslinda yang maut dalam kemalangan di Taman Bertam Indah, semalam. Gambar kecil, Roslinda dan Mat Subri.

Menurutnya, sejurus tercampak, dia hanya sedar selepas dibawa ke hospital dan tidak mengetahui keadaan isterinya.

“Saya diberitahu isteri saya sudah meninggal dunia dan tidak menyangka dia meninggal dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, dia yang turut parah kemudian dibawa menggunakan katil untuk melihat jenazah isterinya di Unit Forensik HKB.

“Saya tidak dapat menahan perasaan sedih kerana sebelum ini dia sering bersama saya. Malah, kami juga bekerja di gerai nasi lemak itu bersama-sama sejak dua tahun lalu,” katanya.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Muhammad Razin Naufan, 20, Nur Syafiqah, 18, dan Muhamad Syamim, 14.

Sementara itu, majikan mangsa tapi enggan dikenali yang juga pemilik gerai nasi lemak itu berkata, mangsa dan suaminya sudah dua tahun bekerja menjual nasi lemak di situ.

“Mereka pasangan bahagia malah sering dilihat bergurau senda sesama mereka.

“Arwah dan suaminya juga sangat rajin bekerja malah sebelum ini mereka sudah enam tahun bekerja di kedai makan milik rakan saya di kawasan berdekatan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Roslinda dan gerainya.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat kedai saya musnah dan ternampak arwah terbaring di kawasan pencawang elektrik di belakang kedai.

“Ketika itu arwah masih bernafas kerana saya ternampak mulutnya masih bergerak dan menyuruhnya mengucap.

“Saya juga ternampak suaminya terbaring lebih lapan meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, sejurus selepas itu kedua-dua mangsa dibawa ke HKB untuk tindakan lanjut.

“Saya sempat melihat pemandu lelaki yang merempuh gerai saya dan berasa amat marah sebelum cuba ditenangkan orang ramai yang mengepung suspek yang ketika itu khayal dadah,” katanya.

Menurutnya, jenazah Roslinda dikebumikan di Kampung Padang Cina, Kulim, Kedah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, rempuhan itu menyebabkan suami isteri berkenaan tercampak dan parah.

“Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan sebelum Roslinda gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Susulan kejadian, pemandu kereta berusia 31 tahun yang juga lelaki warga tempatan ditahan untuk siasatan dan diambil keterangan,” katanya.

Noorzainy berkata, hasil ujian air kencing suspek juga positif ganja malah lelaki berkenaan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan keretanya tamat tempoh.

Menurutnya, orang ramai yang berada di lokasi kejadian mendakwa pemandu berkenaan berada dalam keadaan mabuk selain penemuan tin minuman keras di dalam kereta dipandunya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 7:00 AM