ANGGOTA APM Pahang memberikan bantuan kepada mangsa. FOTO ihsan APM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


GURU wanita cedera apabila dihempap papan tulis ketika mengajar di makmal sebuah sekolah menengah agama di Tanjung Api, Kuantan, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari, Radhiah Yusop, 49, kemudian dikatakan terlanggar meja akibat hentakan kuat papan tulis itu sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan 12.04 tengah hari lalu bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita mendapati mangsa ditindih papan tulis itu sebelum usaha mengalihkannya dilakukan tiga anggota.

“Kita difahamkan, sebelum anggota APM tiba beberapa pelajar mangsa cuba mengalihkan papan tulis itu tetapi tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kerja menyelamatkan mangsa selesai kira-kira 10 minit kemudian sebelum guru wanita terbabit dikejarkan ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, untuk rawatan.

Difahamkan, guru terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala serta badan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 1:05 PM