RUSMA menunjukkan gambar kepada Bala ketika melawatnya di Hospital Shah Alam, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


“TERIMA kasih kepada mereka yang menolong saya keluar dari longkang itu, jika tidak belum tentu saya masih hidup,” kata lelaki hanya mahu dikenali sebagai Bala, 58.

Semalam, Bala ditemui di dalam sebuah longkang di Padang Jawa, Shah Alam oleh suami isteri iaitu Rusma Samsudin, 39, dan Wan Mohd Zul Haffizi Wan Hussin, 30.

Bala yang sudah berada di dalam longkang itu selama empat hari berkata, selepas terjatuh ke dalam longkang itu, dia sudah menjerit bagi meminta pertolongan, namun tidak didengari.

“Apabila saya jatuh, seluruh badan sangat sakit. Saya cuba bangun, namun tidak mampu berikutan merasakan kaki terseliuh.

“Namun, saya bersyukur ada orang jumpa saya di dalam longkang itu dan seterusnya membantu saya keluar.

“Malah, mereka memandikan, memberi minuman dan makanan serta pakaian kepada saya sebelum menghubungi ambulans,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Hospital Shah Alam (HSAS), hari ini.

Dalam pada itu, Rusma yang melawat Bala di hospital berkenaan berkata, dia bersyukur apabila melihat lelaki itu sudah semakin sembuh berbanding semalam.

“Dia kelihatan sangat lemah apabila kami menemuinya. Ketika kami temui dia di dalam longkang itu, tapak kakinya sudah kecut dan badannya sangat kurus.

“Hari ini apabila saya melawat Bala, dia kelihatan sedikit berisi berbanding semalam berikutan sudah diberi makan dan dimasukkan ‘drip’ air,” katanya.

Rusma berkata, dia dan suaminya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai manusia untuk membantu lelaki itu tanpa mengira kaum yang berada dalam kesusahan.

“Ramai yang memberi reaksi positif. Ada segelintir saja beri komen negatif.

“Namun apa yang saya lakukan bersama suami dan dua pekerja adalah atas tanggungjawab dan ihsan sesama manusia,” katanya.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan berkenaan Bala yang bernasib baik apabila diselamatkan suami isteri selepas terjatuh di dalam longkang di Padang Jawa, Shah Alam, sejak empat hari lalu.

Rusma kemudiannya memuat naik status di Facebook bersama beberapa keping gambar mengenai seorang lelaki tua jatuh di dalam longkang.

Tindakan beliau memandikan serta memberikan makanan kepada lelaki itu dipuji netizen.

Berita berkaitan

'Derita 4 hari dalam longkang'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 3:53 PM