BIBI harap individu yang mengambil alih tampuk kepemimpinan KAFA dapat membawa kejayaan kepada pasukan.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: “Saya sudah tidak tahan dan banyak bersabar sebelum ini.”

Itu luahan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan yang mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan semalam, selepas hampir tiga tahun memegang tampuk kepemimpinan badan induk bola sepak negeri terbabit.

Bibi Ramjani berkata, pelbagai tekanan dan tohmahan diterima beliau termasuk ugutan daripada individu tidak dikenali menyebabkan pengusaha batik itu mengambil keputusan drastik.

Walaupun mengakui keputusan itu mengejutkan, ia diambil demi kebaikan semua pihak dan tidak mahu lagi menjadi ‘objek’ cacian netizen terhadap apa yang berlaku dalam KAFA.

Malah, beliau juga tidak tahan apabila terpaksa menanggung segala bebanan seorang diri termasuk mengeluarkan duit poket sendiri bagi menyelesaikan hutang tanpa bantuan daripada individu lain.

“Segalanya saya terpaksa tanggung termasuk menghadap hutang KAFA dan juga apabila pasukan mengalami kekalahan sudah pasti menjadi cacian atau tohmahan penyokong Kelantan.

“Lebih buruk lagi, keluarga terutama anak juga menjadi mangsa apabila mereka diugut dan dicaci walupun tidak terbabit dengan KAFA.

“Saya berharap individu yang mengambil alih tampuk kepemimpinan KAFA dapat membawa perubahan dan kejayaan kepada pasukan nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Bibi Ramjani menerusi laman sosial Facebooknya mengumumkan meletakkan jawatan selepas mengharungi tempoh mencabar menjawat jawatan itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kelantan sepanjang memimpin KAFA.

Bibi Ramjani menjawat jawatan Presiden KAFA pada September 2017, sekali gus memecah tradisi sebagai wanita pertama memimpin jawatan itu di negeri ini.

Usahawan wanita itu sepatutnya memimpin persatuan itu bagi penggal 2017 hingga 2021 namun melepaskan jawatan dipercayai susulan kemelut dalaman yang berlaku dalam persatuan itu.

Sebelum ini, Bibi Ramjani sudah memberi bayangan untuk melepaskan jawatannya dalam masa terdekat kepada individu berkelayakan tanpa menunggu mesyuarat agung tahunan.

Pada masa sama, beliau juga sudah menghentikan segala bentuk bantuan kewangan kepada pasukan selepas melihat banyak pihak termasuk Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) mendesaknya meletakkan jawatan.

Selain itu, keputusannya mahu meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat ini adalah kerana mahu memberi laluan kepada presiden baharu menguruskan beberapa perkara termasuk pembayaran gaji kepada pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 6:00 AM