Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


KUALA LUMPUR: Segelintir masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman masih mengekalkan cara hidup tradisi serta adat lama dan menganggap mayat yang diletakkan di atas pokok akan ghaib ‘diangkat’.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo berkata, masyarakat separa nomadik itu mengkategorikan manusia kepada dua iaitu orang yang menguasai ilmu kebatinan dan orang biasa.

Mengulas lanjut, katanya, orang yang menguasai ilmu kebatinan termasuk perubatan tradisional seperti jampi dipanggil halak, bomoh, pawang, bidan dan malim.

“Bagi kategori ini, dalam masyarakat yang semi nomadik mereka tak kebumikan mayat golongan ini sebaliknya mereka bina para di atas pokok dan jenazah itu diletakkan di atas para.

“Sekiranya orang itu betul-betul tulen membantu masyarakat, kepercayaan semi nomadik ini menganggap jenazah itu akan ghaib.

“Tetapi jika bomoh itu tidak begitu taat dengan ilmu perbomohannya, misalnya terlibat dengan sihir atau ilmu hitam maka mayatnya akan mereput dan tulang belulangnya akan jatuh ke tanah,” katanya.

Amalan bagi masyarakat ini juga katanya, jika ada yang sakit dan selepas dirawat secara tradisional masih belum pulih, maka pesakit itu akan mengasingkan diri lebih jauh ke dalam hutan dari kawasan penempatan.

Katanya, bomoh yang merawat akan tinggal bersama pesakit itu di pondok yang dibina dengan ditemani adik-beradik atau ibu bapa pesakit terbabit.

“Sekiranya pesakit itu sembuh, dia akan balik ke kampung tetapi jika meninggal dunia, maka di tempatnya mati itulah dia akan dikebumikan.

“Bagi individu yang tidak memiliki ilmu kebatinan, mayatnya dibalut dengan kulit kayu, ditanam dan kuburnya ditandakan dengan pokok kayu yang biasanya akan mereput dan hilang.

“Prinsipnya, apabila mati kita harus balik ke asal iaitu tanah tanpa ada tanda. Itu kepercayaannya,” katanya.

Namun, beliau berkata, kepercayaan sedemikian sudah beransur ditinggalkan terutamanya oleh generasi baru.

Selain itu, masyarakat Orang Asli yang sudah beragama akan mengendalikan dan menyemadikan jenazah mengikut anutan agama masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 7:00 AM