GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


SEORANG buruh ditahan polis selepas mengugut untuk menyapu tahi anaknya dan menyantau seorang anggota trafik yang menyamannya dalam sekatan jalan raya di Jalan Idris, Kuala Kangsar, semalam.

Dalam kejadian 10.20 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun berkenaan memandu kenderaan Perodua Kembara dan ditahan dalam Ops Penguatkuasa Lalu Lintas yang dijalankan selepas didapati tidak memakai tali pinggang keledar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, anggota trafik kemudian mengeluarkan saman terhadap lelaki berkenaan sebelum suspek yang tidak berpuas hati bertindak biadab dan mengeluarkan ugutan terhadap anggota polis.

“Suspek kemudiannya mengeluarkan kata-kata ‘tak tahu ka anak aku berak, sapu tahi kat kamu baru tau, kamu tak ada akal ka dan kamu tunggu aku santau kamu, bukan mahal pun nak santau RM5 je dah boleh santau’.

“Perkataan itu jelas didengari anggota berkenaan dan rakannya sebelum suspek ditahan kerana mengeluarkan perkataan mengugut dan biadab ke atas anggota yang sedang menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razali berkata, siasatan awal mendapati pesalah trafik berkenaan mengeluarkan perkataan itu disebabkan tidak berpuas hati dengan saman dikeluarkan manakala anggota trafik berasa terancam dengan ugutan berkenaan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:39 PM