Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: Pasukan Siasatan Bersama (JIT) MH17 akan mendakwa empat suspek iaitu tiga dari Russia dan seorang dari Ukraine di Mahkamah Jenayah Belanda dipercayai dalang utama menembak jatuh pesawat malang itu yang mengorbankan 298 anak kapal dan penumpang, 17 Julai 2014.

Dalam sidang media secara langsung di Belanda, semalam, JIT turut menamakan semua suspek dikenali sebagai Igor Girkin, Sergey Dubinskiy, Oleg Pulatov, dan Leonid Kharchenko semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Republik Rakyat Donetsk ketika kejadian.

Sidang media dihadiri enam wakil pasukan penyiasat masing-masing Mohamad Hanafiah Zakaria dari Malaysia, Frederix Van Leeuw, Fred Westerbeke dan Wilbert Paulissen (Belanda), Yuriy Lutsenko (Ukraine) dan Peter Crozier (Australia)

JIT turut mendedahkan Igor, 49, yang berperanan sebagai Menteri Pertahanan Donetsk, Sergey, 57, pula Ketua Perisikan Donetsk, Oleg, 53, (Timbalan Ketua Perisikan) manakala Leonid, 47, pula Komander Lapangan akan dibawa ke muka pengadilan pada 9 Mac 2020.

Igor adalah bekas Kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia manakala Sergey serta Oleg adalah Pegawai Risikan Tentera Russia dan Leonid adalah bekas Komander Ukraine.

Penolong Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia, Peter Crozier berkata, pasukan siasatan menganggap siasatan kes ini adalah jenayah paling rumit yang pernah dihadapi mereka.


PIHAK berkuasa Russia mengawal lokasi bangkai pesawat penerbangan MH17 ditemui di perkampungan Grabove, Ukraine pada 11 November 2014.

“Bagaimanapun pasukan siasatan yakin suspek akan diheret ke mahkamah dan suspek boleh membela diri dalam perbicaraan itu nanti,” katanya.

JIT merumuskan empat suspek yang didedahkan semalam adalah hasil maklumat dan bukti selepas pasukan itu menemu bual ratusan individu.

Pendakwa dari Belanda, Fred Westerbeke berkata, semua suspek bertanggungjawab membawa senjata pembunuh ‘BUK Telar’ ke Timur Ukraine.

Waran tangkap antarabangsa terhadap keempat-empat suspek sudah dikeluarkan walaupun Russia menegaskan untuk tidak bekerjasama dalam siasatan dan menyerahkan warganya itu untuk didakwa.

Pasukan siasatan itu juga memaklumkan empat suspek itu akan menjalani prosiding pendakwaan berdasarkan perundangan Belanda.

Laporan penuh siasatan yang diperoleh juga akan diserahkan kepada pihak pendakwaan menjelang hujung tahun ini.

Prosiding pendakwaan akan tetap dijalankan walaupun tanpa kehadiran suspek di Mahkamah Jenayah Belanda nanti.

Dalam sidang media khas itu juga, pasukan siasatan turut mendedahkan bukti perbualan telefon antara suspek Igor Girkin termasuk ‘Perdana Menteri’ Wilayah Donestk, Alexender Borodai dengan beberapa individu lain.

JIT juga memberi jaminan kepada waris mangsa bahawa siasatan dan pendakwaan akan dijalankan secara adil mengikut peruntukan undang-undang Belanda.

Dalam masa sama juga, JIT tetap akan meneruskan siasatan walaupun empat suspek sudah didakwa namun setakat ini tiada suspek lain selain daripada empat nama yang didedahkan.

Sementara itu, Mohamad Hanafiah memaklumkan Malaysia berpuas hati dengan hasil siasatan JIT dan tetap berpegang kepada kedaulatan undang-undang dalam pendakwaan kes berkenaan.

Pesawat MH17 meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Penyiasat sebelum ini memutuskan pesawat itu ditembak menggunakan peluru berpandu BUK buatan Russia yang ditembak dari wilayah Ukraine yang dikuasai pemberontak disokong Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 5:30 AM