DR Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Dr Wan Azizah (kanan) ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
DR Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Dr Wan Azizah (kanan) ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Mohd Husni Mohd Noor


TUN Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu bercuti terutama ketika berdepan siasatan berhubung isu video seks sejenis.

Perdana Menteri berkata, isu berkenaan bermotif politik dan ia (video seks) didedahkan untuk memalukan Mohamed Azmin.

“Sekiranya siasatan membabitkan salah laku jenayah, mereka boleh bercuti, tetapi ini membabitkan perkara politik. Hakikatnya ada niat untuk memalukan beliau dan memintanya bercuti.

“Saya tak suka bukti berunsurkan politik,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan masuk campur untuk menghalang perselisihan yang berlaku dalam PKR, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman parti itu.

“Saya tak masuk campur,” katanya.

Mengulas desakan dan cadangan beberapa pihak yang mahu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, sesiapa berhak memberi cadangan.

“Sesiapa sahaja bebas memberi cadangan mengenai kedudukan semua anggota Kabinet dalam kerajaan termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun akhirnya saya yang membuat keputusan.

“Mereka boleh membuat cadangan, sama ada saya terima (atau sebaliknya) adalah perkara lain,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor mencadangkan Wan Azizah menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada suaminya.

Shaid berkata, peralihan kuasa pada masa ini tidak masuk akal sama sekali memandangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri masih dipegang Dr Wan Azizah.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah dalam reaksinya sebelum ini berkata, tidak timbul isu untuk melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada Anwar.

Dr Wan Azizah dilaporkan berkata, ini kerana perkara itu tidak berbangkit kerana dalam perjanjian sebelum ini yang dipersetujui, beliau akan menjadi timbalan kepada Dr Mahathir.

Katanya, perjanjian itu dipersetujui beliau kekal Timbalan Perdana Menteri walaupun Anwar dilantik Presiden PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 4:04 PM