SUSPEK yang merosakkan barang makanan di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di Nilai kini ditahan polis untuk siasatan lanjut. FOTO IHSAN PEMBACA
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS sudah menahan tiga lelaki susulan video tular perbuatan seorang lelaki merosakkan barang makanan di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di Nilai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, semua suspek berusia 18 dan 20 tahun ditahan jam 3.45 petang, hari ini.

Menurut Mohd Noor, tangkapan itu susulan laporan dibuat pengurus premis yang mengalami kerugian RM30 akibat perbuatan suspek.

“Polis akan memohon perintah reman di Mahkamah Majistret Seremban esok,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Portal berita Harian Metro melaporkan, tindakan seorang lelaki merosakkan barang makanan di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di Nilai membawa padah apabila video kejadian itu tular dan diburu polis.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas remaja terbabit bersama rakan masuk ke premis berkenaan lalu merosakkan beberapa plastik makanan dan minuman kira-kira jam 10 malam tadi.

Mereka turut merakam video perbuatan itu di Instagram Story sebelum didapati tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 7:46 PM