PASUKAN perubatan dan anggota keselamatan tiba di lokasi kejadian, kelmarin.
Mary Victoria Dassdan Izlaily Nurul Ain Hussein


PASIR GUDANG: Masih misteri dan jadi tanda tanya! Itu rumusan terkini apabila tiada punca spesifik yang boleh dikaitkan sebagai penyebab kepada insiden 13 murid Sekolah Agama Taman Mawar dan dua dewasa di sini, mengalami sesak nafas dan muntah-muntah, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, sehingga kini, siasatan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati tiada aktiviti pembuangan atau pelupusan haram buangan berjadual.

“JAS mendapati tiada punca spesifik yang menyebabkan masalah gangguan kesihatan itu. Siasatan awal JAS juga mengesahkan tiada sebarang kejadian pembuangan atau pelupusan haram bahan buangan berjadual.

“JAS akan memaklumkan dari masa ke semasa perkembangan siasatan yang dijalankan,” katanya padasidang media di Bilik Gerakan Operasi (BGO) di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad.

WARGA Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang berkumpul di hadapan sekolah selepas menerima laporan murid mengalami sesak nafas dan sakit kepala, kelmarin.

Mohd Khuzzan berkata, pemantauan udara akan dibuat secara berkala setiap empat jam dan sebarang perubahan terhadap kualiti udara di kawasan terjejas akan dimaklumkan segera bagi tindakan lanjut.

“Berdasarkan pemantauan awal kualiti udara oleh Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan JAS, bacaan kualiti udara adalah baik.

“Bacaan bagi parameter Karbon Monoksida (CO), Hidrogen Sulfida (H2S) dan Volatile Organic Compounds (VOS) adalah pada paras sifar, manakala bacaan paras Oksigen adalah 21.2 peratus iaitu normal,” katanya.

Beliau berkata, BGO Pemantauan yang dibuka di stadium itu diketuai JBPM dan JAS bagi membuat pemantauan kualiti udara di kawasan Pasir Gudang sejak malam tadi meliputi kawasan seluas dua kilometer radius dari kawasan sekolah terjejas.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 6:00 AM