GAMBAR Hiasan.
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Hidayatul Akmal Ahmad dan Nurul Hidayah Bahaudin


KUALA LUMPUR: Pendedahan menyedihkan apabila siasatan polis mendapati masih ramai golongan isteri sanggup bertahan serta merelakan diri dicaci, dihina dan disepak terajang suami bertahun-tahun lamanya tanpa mahu membuat laporan polis.

Malah dalam kebanyakan kes dikendalikan polis, mangsa didera suami tidak mahu tampil memberikan kerjasama atas faktor sayang tidak bertempat selain sanggup diperlakukan seperti hamba untuk mendapatkan wang.

Isteri sebegini sanggup bertungkus lumus bekerja separuh mati manakala suami sama ada golongan pemalas atau penagih memeras keringat isteri malang ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Choo Lily berkata, pihaknya menerima sebanyak 1,980 laporan berkaitan kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga April lalu dan jumlah itu diyakini terus meningkat.

“Tahun lalu, sebanyak 5,421 laporan kes penderaan dan keganasan rumah tangga di seluruh negara dilaporkan kepada polis.

“Kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan isteri yang didera oleh suami mereka sama ada secara fizikal mahupun mental,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Aman di sini, semalam.

Lily berkata, lebih mengejutkan apabila kebanyakan kes diterima bukan dilaporkan oleh mangsa sendiri sebaliknya dilakukan ahli keluarga, sahabat atau jiran yang tidak tahan dengan penderaan terhadap mangsa.

“Bagi kes penderaan, kes diterima tidak hanya termaktub kepada laporan dibuat mangsa. Malah orang lain juga boleh melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Kebanyakan laporan kes diterima daripada anak, anak saudara, rakan dan jiran mangsa yang mengetahui mangsa didera teruk oleh suami.

“Tindakan itu (membuat laporan) dibuat orang lain kerana mangsa sendiri enggan tampil memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Sebelum ini, kami ada menerima kes dilaporkan anak saudara mangsa yang tidak tahan melihat ibu saudaranya berusia 70-an didera suami berusia 80-an sejak berpuluh lamanya,” katanya.

Katanya, banyak kes penderaan yang berlaku membabitkan suami isteri lambat dilaporkan kerana mangsa mengambil masa lama untuk tampil membuat pendedahan.

“Mangsa sering dimaki hamun suami selain dipukul dalam tempoh masa yang panjang menyebabkan emosinya menjadi tidak stabil hingga percaya kata-kata dilemparkan.

“Mereka mula percaya bahawa diri mereka tiada nilai dan perlu bergantung pada suami untuk meneruskan hidup. Perkara ini mengakibatkan mereka tidak tampil melaporkan apa yang berlaku kepada pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, ada titik tolak yang menyebabkan mereka akhirnya tampil membuat laporan apabila anak-anak turut menjadi mangsa dera,” katanya.

Beliau menasihatkan mangsa atau orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes penderaan berlaku depan mata mereka diminta tampil melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

“Laporan yang diterima dapat membantu menyelamatkan nyawa mangsa kerana keutamaan kami adalah menyelamatkan mereka dengan membawa keluar ke tempat selamat sebelum memulakan siasatan lanjut.

“Kami akan memberikan bantuan apa yang perlu termasuk kaunselor bertugas di D11. Malah, mereka yang mahu mendapatkan khidmat kaunseling dengan kami boleh datang terus ke pejabat tanpa perlu membuat laporan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 6:30 AM